HULU LANGAT 21 Feb. – Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak akan menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo kerana telah mengasarinya pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, ini kerana beliau tidak akan menoleh ke belakang dan berpendirian berani kerana benar.
Katanya, polis sudah pun memiliki bukti seperti gambar, video dan keterangan saksi.
“Dalam bab ini kita kena berani kerana benar. Saya biarkan mereka (Polis) putuskan dalam bab ini.
“Perkembangan siasatan sangat positif. Saya rasa dalam bab ini, biar polis yang buat siasatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Pemuda PH di Semenyih Parklands di sini hari ini.
Syed Saddiq turut mendakwa, video yang tular dalam media sosial didakwa telah disunting pada bahagian tertentu terutamanya sewaktu Papagomo cuba mengasarinya.
Malah, beliau kini berada di pihak yang benar kerana polis sendiri telah mengesahkan bahawa laluannya pada hari kejadian adalah merupakan laluan PH, bukannya Barisan Nasional (BN).
“Pihak polis sudah pastikan bahawa kawasan yang saya lalu itu bukan kawasan himpunnya BN. Ia berada jauh. Itu bukan saya yang kata, tapi polis yang kata. Mereka dari jauh datang ke mana kita berada untuk kejar kita,” ujarnya. UTUSAN ONLINE











