KUALA LUMPUR 22 Feb. – Sebuah syarikat aksesori didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membekalkan cermin mata tiruan jenama Gucci berjumlah 694 unit, tiga tahun lalu.
Hakim Manira Mohd. Nor menjatuhkan hukuman itu selepas pengarah syarikat I World Sunglass Sdn. Bhd., Chiew Ai Lee, 45, yang dinamakan sebagai orang kena saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa telah membekal atau menawarkan masing-masing 449 cermin mata hitam dan 245 cermin mata jernih jenama Guccio Gucci S.P.A yang menggunakan perihal dagangan palsu seolah-olah barangan tersebut tertakluk kepada hak yang berhubung dengan cap dagangan berdaftar Gucci.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di syarikat tersebut di Lorong Haji Taib 3, di sini pada pukul 12.30 tengah hari, 11 Mei 2016.
Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 8 (2)(A) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu.
Terdahulu, Ai Lee yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung keluarga.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Mohd. Kamil Khirodin memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira pemilik cap dagang dalam industri fesyen dan aksesori serta pengguna.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian sepasukan penguatkuasa telah melakukan serbuan di premis tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati premis itu telah menjalankan perniagaan menjual pelbagai jenis cermin mata termasuk cermin mata jenama Gucci palsu. – UTUSAN ONLINE










