Tidak berapa lama dahulu negara dikejutkan dengan berita rakyat tempatan ditahan dan dipenjara di negara luar kerana menjadi keldai dadah. Sejak 2013 sehingga Oktober tahun lalu sejumlah 425 orang rakyat tempatan ditahan di 19 buah negara kerana diperdaya sindiket untuk menyeludup masuk dadah ke negara lain.
Sebanyak 175 keldai dadah rakyat tempatan ditahan di Singapura, Indonesia (85), Thailand (49), Australia (34), Jepun (31) serta beberapa kes di Argentina, Brazil dan Peru. Kebanyakan mangsa adalah gadis atau wanita. Mereka sanggup menjadi keldai dadah kerana tawaran yang diberikan menarik seperti pakej pelancongan ke luar negara, habuan wang ringgit sehingga RM10,000 serta janji `cinta sejati’ teman lelaki. Menurut polis dalam kebanyakan kes, sindiket ini didalangi warga Afrika yang berada di Malaysia.
Minggu lalu pula, negara sekali lagi dikejutkan dengan berita seramai 47 rakyat Malaysia dipenjara di Kemboja atas tuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram. Kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 44 tahun dan berasal dari Sabah dan Sarawak. Siasatan polis mendapati mereka adalah mangsa sindiket penyeludupan manusia yang berselindung di sebalik nama agensi pengambilan pekerja. Mangsa dijanjikan pekerjaan dalam sektor perhotelan di kawasan pelancongan Siem Reap dengan gaji lumayan. Apa yang berlaku sebaliknya. Mangsa dikurung dalam sebuah rumah dan dipaksa menjadi `pegawai bank’ dan pegawai mahkamah’ untuk sindiket penipuan internet seperti Macau Scam. Sebahagian pula dipaksa menjadi operator bagi mempromosikan judi dalam talian menerusi panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Mereka terputus hubungan dengan keluarga di tanah air sehinggalah ditangkap pihak berkuasa Kemboja. Menurut polis, mangsa terpedaya dengan tawaran kerja lumayan ini yang diiklan menerusi aplikasi media sosial seperti Facebook dan WeChat. Dalang kepada sindiket penipuan pekerjaan ini yang merupakan warga tempatan sudah dikenal pasti. Beberapa bulan sebelum ini satu kes yang sama berlaku di Thailand. Polis negara itu berjaya membongkar sindiket yang modus operandinya lebih kurang sama seperti penipuan internet dan judi dalam talian serta menahan sekumpulan rakyat Malaysia di sebuah apartmen di negara tersebut. Kisah rakyat tempatan yang terpukau dengan tawaran kerja bergaji besar di luar negara dan kemudiannya tertipu bukan cerita baharu lagi malah semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.
Ekonomi negara
Yang membezakan cuma jenis-jenis pekerjaan yang dijanjikan. Statistik yang ada itu bagaimana pun hanya bagi kes yang dapat dikesan. Barang kali banyak lagi kes seumpama itu yang tidak diketahui berlaku di luar negara kerana tidak ada laporan media. Sebelum ini pun pernah dilaporkan tentang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Malaysia bekerja di ladang buah-buahan dan sayur-sayuran di Australia, New Zealand, Jepun dan Korea. Mereka sanggup tinggal secara haram dan tinggal dalam persekitaran yang teruk tanpa kemudahan asas terutama ketika musim sejuk gara-gara terpikat dengan tawaran gaji dan upah lumayan sindiket. Pendatang asing rakyat Malaysia ini tidak ubah seperti pelarian kerana hidup dalam ketakutan dan bimbang ditangkap pihak berkuasa.
Apabila berlaku kes-kes sebegini, sudah tentu ada yang mengaitkannya dengan situasi ekonomi negara pada masa ini terutama yang melibatkan isu-isu berkaitan dengan peluang pekerjaan, pengangguran dan tawaran upah. Keluhan tentang kesukaran mendapat pekerjaan yang sepadan dengan kelulusan dalam kalangan siswazah sudah lama kedengaran. Jika dulu hanya graduan dalam bidang-bidang tertentu sahaja yang sukar mencari pekerjaan, kerana kursus yang diikuti itu mungkin masih baharu di Malaysia.
Bagaimanapun sekarang ini graduan dalam semua bidang pengajian berhadapan keperitan mencari kerja. Kalaupun ada, bilangan kekosongan cukup terhad dan persaingan sangat sengit kerana jumlah graduan yang keluar daripada universiti setiap tahun amat besar.
Oleh kerana sukar mendapat pekerjaan, sejak kebelakang ini, siswazah sudah tidak banyak berkira lagi dengan jenis pekerjaan. Walaupun berbeza dengan kursus yang diambil di universiti, mereka tetap mahu mencuba asalkan ada kerja sahaja. Sesetengahnya mampu bertahan dengan bidang baharu itu, manakala yang merasa tidak cocok akan mencari pekerjaan lain. Dalam keadaan seperti sekarang ini `mencari kerja setaraf kelulusan’ bukan satu lagi pilihan. Malah bukan sesuatu yang mengejutkan jika didapati majoriti jurujual yang bekerja di kompleks beli belah dan pasar raya besar di negara ini adalah graduan universiti atau institusi pengajian tinggi
Kesukaran yang sama turut berlaku dalam sektor-sektor lain yang dibolot oleh pekerja asing terutama bidang sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar). Oleh kerana rakyat tempatan tidak berminat dengan kerja-kerja sedemikian sejak dari dahulu lagi, sehingga sekarang tidak ada kontraktor pembinaan yang berminat mengambil pekerja tempatan. Dengan kata lain pintu bagi kerja-kerja di sektor tersebut sudah tertutup rapat untuk orang tempatan. Cadangan untuk mengurangkan jumlah kakitangan dalam sektor awam pada tahun-tahun akan datang sudah pasti memburukkan lagi keadaan.
Tawaran kerja palsu
Walaupun tidak akan berlaku dalam waktu terdekat, ura-ura sebegini bakal menimbulkan kebimbangan kepada generasi muda terutama yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi ketika ini. Sekiranya peluang pekerjaan di sektor awam semakin mengecil, persaingan untuk mendapatkan pekerjaan di sektor swasta sudah tentu menjadi semakin sukar.
Dalam situasi ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan dengan kos sara hidup yang meningkat setiap saat, semua orang mahu mencari pekerjaan dan pendapatan yang selesa boleh menampung kehidupan masing-masing waima terpaksa berhijrah ke negara luar sekali pun. Apabila ada tawaran pakej pekerjaan yang menarik dengan gaji lumayan sehingga RM10,000 tidak akan ada yang sanggup menolaknya. Mereka sudah tidak sempat berfikir dua kali sama ada tawaran kerja itu ‘tulen’ dan benar-benar wujud atau palsu. Apa yang penting sekarang ialah menyambar sahaja ‘rezeki’ yang melintas di hadapan mata.
Rata-rata yang terperangkap dengan sindiket itu adalah mereka yang masih muda berusia dalam lingkungan 19 hingga 44 tahun. Mangsa yang berusia 19 tahun itu sudah tentu setahun dua meninggalkan alam persekolahan. Dalam usia yang cukup mentah dan baru mahu mengenal liku dan pancaroba kehidupan mereka mudah gelap mata dan begitu berani memperjudikan hidup dengan merantau ke negara asing kerana tertarik dengan tawaran yang dijanjikan.
Bila lagi mahu merasa gaji besar sebanyak itu kerana di negara sendiri pun belum tentu ada pekerjaan yang menawarkan upah sedemikian. Kerajaan perlu melihat apa yang berlaku bukan sekadar satu kes jenayah penipuan internet semata-mata tetapi melangkaui lebih daripada itu. Sementara syarikat atau agensi yang terlibat dalam penipuan ini perlu dihukum, satu pelan penyelesaian jangka panjang juga perlu.
Salah satunya ialah menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan tanpa mengira latar belakang pendidikan. Percayalah kes-kes sebegini akan terus berlaku dan berulang selagi rakyat tempatan terus berhadapan dengan kesukaran mencari pekerjaan di negara sendiri.










