KUALA LUMPUR 15 Feb.- Suruhanjaya Tenaga (ST) akan mengadakan pertandingan cekap tenaga ‘Energy Efficiency Challenge’ (EE Challenge) 2019 sebagai usaha untuk memastikan tenaga elektrik dapat digunakan dengan sebaiknya.
ST dalam kenyataannya memberitahu, pertandingan tahun ke-enam itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM80,000 dan terbuka kepada semua sekolah menengah di semenanjung dan Sabah.
“Pertandingan ini diadakan untuk mendidik dan memupuk budaya menjimatkan tenaga elektrik dalam kalangan pelajar dan warga sekolah serta memberi kesedaran mengenai kesan penjimatan tenaga elektrik kepada alam sekitar.
“Pemenang akan dinilai melalui kadar pengurangan elektrik, kadar pengurangan intensiti tenaga, bilangan aktiviti yang dijalankan, impak serta laporan yang dikemukakan,” katanya.
Tambah kenyataan tersebut, sekolah-sekolah yang ingin menyertai pertandingan boleh menghantar borang penyertaan kepada ST sebelum atau pada 31 Mac depan.
“Aktiviti-aktiviti penjimatan elektrik di sekolah akan dikira bagi tempoh enam bulan bermula April hingga September ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










