Sudan isytihar darurat setahun - Utusan Malaysia

Sudan isytihar darurat setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHARTOUM 23 Feb. – Presiden Sudan, Omar al-Bashir mengisytiharkan darurat dalam tempoh setahun selain membubarkan Kabinet dan memecat gabenor di seluruh negara.

Lapor al-Jazeera, Omar, 75, juga menggesa Parlimen menangguhkan pindaan Perlembagaan yang membolehkan beliau bertanding untuk satu lagi penggal pemilihan Presiden tahun depan.

Beliau juga mengiktiraf protes yang menggegarkan pentadbirannya sejak beberapa bulan lalu dan berkata, ‘permintaan rakyat negara ini untuk kehidupan lebih baik adalah sah’.

“Saya tidak henti memang­gil semua pihak untuk duduk di meja rundingan,” katanya sambil menambah akan tetap memihak kepada ‘golongan belia yang mewakili masa depan Sudan’.

Pengumuman itu dibuat susulan protes selama beberapa bulan yang berlaku hampir setiap hari, menggesa agar Omar meletakkan jawatan setelah memegang tampuk pemerintahan sejak tiga dekad lalu.

Pada mulanya, protes dijalankan berikutan peningkatan harga roti dan minyak di utara Sudan, tetapi kemudiannya rakyat menuntut untuk kebebasan politik serta menamatkan pemerintahan Omar.

Protes terhadapnya masih lagi berterusan sehingga semalam.

Anggota keselamatan melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan ratusan penunjuk perasaan yang berarak dan melaungkan slogan antikerajaan selepas solat Jumaat di masjid utama dekat sini.

Aktivis menyatakan hampir 60 orang terkorban sejak protes dijalankan pada 19 Disember lalu, namun pihak berkuasa meletakkan angka kematian kepada 31 orang.

Selain itu, ratusan penunjuk perasaan termasuk pemimpin pembangkang, aktivis dan wartawan dipenjarakan oleh Perkhidmatan Perisikan dan Keselamatan Nasional (NISS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN