“DAH merepek pula dia ni. Boleh pula cakap macam ni. Ini tahap budak-budak sekolah punya cakap ni, bukan pemimpin,” kata seorang rakan sambil jarinya menarik ke bawah skrin di telefon pintarnya.
Ada apa lagi? Apa pula kali ini? Siapa yang merepek? tanya saya. Iyalah, sekarang ini hendak cari berita merepek, cari hiburan ringan atau mahu menimbulkan kemarahan dan kebencian sekali pun, semuanya boleh dapat dalam media sosial. Tak payah pergi jauh-jauh.
Lebih-lebih lagi bila ada pilihan raya. Tidak kiralah pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya umum (PRU). Negara ini pun sudah melalui banyak PRK sejak PRU-14 yang tidak sampai setahun pun lagi. Penat tahu, nak layan PRK ni. Terutamanya rakan-rakan media, belum habis letih, tahu-tahu ada satu lagi PRK. Dalam sembilan bulan ni, dah banyak kalilah kita raya!
Maka apabila persekitaran kita asyik berkisar tentang politik, darjah merepek pemimpin-pemimpin parti politik ini tak kiralah daripada parti kerajaan atau pembangkang meningkat berganda-ganda daripada biasa. Kadang-kadang tu adalah rasa terhibur juga. Kadang-kadang tak tahu, nak gelak atau nak menangis.
Tapi tahap hiburan seperti ini sudah tentu sama sekali tidak baik untuk negara ini. Apa lagi bila berpolitik tidak secara matang, menyebut hal-hal peribadi atau keluarga pihak lawan termasuk yang sudah meninggal dunia, rakyat pun terfikir, inikah saja standard ahli-ahli politik negara ini?
Iyalah macam mengajar anak ketam berjalan dengan betul. Diri sendiri pun jalan senget. Nak mengajar orang beradab. Diri sendiri pun kurang adab. Bila sudah diangkat menjadi pemimpin, terutamanya yang bertaraf menteri sudah pasti kena tunjuk contoh yang baik-baik kepada orang ramai.
Sepatutnya mereka ini mendapat rasa hormat yang tinggi daripada rakyat. Tapi bila dah dijadikan bahan gelak ketawa, muhasabah diri lebih baik daripada terus melayan rasa emosional dan ego tak tentu hala.
Saban hari ada sahaja, kenyataan yang dikeluarkan pemimpin berubah-ubah, termasuk menteri. Jadi yang rakyat ini, tukang tengok sajalah kekalutan ini dan bimbang, ya terlalu bimbang sebenarnya. Apalah hendak jadi dengan negara ini?
Hal yang remeh-temeh itulah yang sibuk digodek-godek. Yang sepatutnya dilihat dan diberi tumpuan, buat pejam mata saja. Menang dalam pilihan raya untuk cakap hal-hal yang tidak memberi manfaat kepada rakyatkah?
Dan bila seorang budak bertanya, kalau hendak jadi menteri tak perlu belajar tinggikan? Apa yang boleh seorang dewasa jawab? Atau menipu sijil akademik tu tak apakan? Ini pun satu masalah besar juga. Kalau penipuan pun dianggap hal biasa, tidak perlu diperbesarkan dan tutup buku, memang harulah.
Bolehkah kita memaksa setiap orang termasuk budak kecil jangan melayari laman sosial. Jangan pedulikan Facebook dan seangkatan dengannya. Kita ini hari-hari mahu mendapatkan maklumat. Tapi bila maklumat yang dapat sekejap berubah-ubah tidak konsisten, Wikipedia pun pening kepala.
Maka hentikan kecelaruan ini. Rakyat gelak, gelak juga. Tapi tentu ini bukan yang mereka inginkan. Setakat kata ekonomi Malaysia berkembang 4.7 peratus pada 2018, tapi rakyat tidak merasakan atau dapat apa-apa daripadanya pun tidak guna juga.
Manifesto pilihan raya lalu umpamanya, sudah cukup cantik pada rakyat. Laksanakan walaupun secara perlahan-lahan. Itu saja. Tak payah keluar drama dan kenyataan yang tidak konsisten. Kita pun malas nak hentam itu ini. Banyak lagi kerja lain. Rakyat sokong mana-mana perkara baik untuk mereka dan negara ini, tak kiralah yang melaksanakannya daripada parti politik mana pun atau sesiapa pun.
Sudah tentu kita semua mendambakan pemimpin yang bijak, beretika, berwibawa dan berabab. Bilakah kita akan dapat pemimpin seperti ini? Seorang dua saja tidak cukup. Esok, lusa, tahun depan? Hari berganti hari. Yang nak menghadap semua ini, rakyat jugalah. Siapa lagi.










