JOHOR BAHRU 8 Feb. – Sebuah stor yang menjadi tempat penyimpanan barangan perkakasan cat dan cecair peluntur cat di kilang acuan dan barangan plastik di Jalan Riang, Taman Gembira di sini, terbakar pagi tadi.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 8 pagi sebelum pihak bomba dihubungi setelah asap tebal kelihatan di udara sebelum api dilihat marak di stor berkenaan.
Ketua Zon 1 (Johor Bahru), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohd. Faizol Selamat berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 8.59 pagi.
“Sebanyak empat jentera dan sebuah lori tangki air dari balai bomba Tebrau, Johor Bahru dan Skudai dikejarkan ke tempat kejadian.
“Bomba dengan kekuatan seramai lebih 30 anggota mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengawal api yang merebak ke kawasan stor,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian sebentar tadi.
Mohd. Faizol menambah, kejadian terbabit menyebabkan seorang pekerja lelaki yang juga ahli pasukan respons kecemasan (ERT) mengalami kecederaan pada bahagian kaki.
“Usaha pemadaman masih lagi sedang giat dijalankan. Kita juga sedang menyiasat punca kejadian dan anggaran kerugian yang dihadapi kilang terbabit.
“Secara keseluruhan, kebakaran terbabit melibatkan 10 peratus daripada keseluruhan kilang,” jelasnya dan mangsa kebakaran itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini. – UTUSAN ONLINE










