MANCHESTER – Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berharap dapat membangkitkan semula semangat luar biasa The Red Devils sama seperti era Alex Ferguson menjelang pertembungan penting dengan Liverpool pada saingan Liga Perdana England (EPL) di Old Trafford malam ini.
Justeru, pengendali berusia 45 tahun itu mengakui tidak akan teragak-agak untuk menjemput Ferguson bagi memberi kata-kata semangat di bilik persalinan United sebelum perlawanan itu berlangsung.
“Ferguson dialu-alukan untuk datang memberi kata-kata luar biasanya kepada pemain di bilik persalinan. Saya tahu bahawa pengurus legenda itu mempunyai sentimen yang tinggi terhadap Liverpool. Dia sentiasa mahu melihat pasukan kesayangannya ini menewaskan Liverpool.
“Bagi kedua-dua pasukan, pertembungan ini adalah saingan yang sangat besar dan dinanti-nantikan seluruh peminat bola sepak. Kami mahu menang untuk berada di kedudukan keempat terbaik.
“Saya fikir jika kami menang, ia akan menjadi pencapaian yang hebat kerana kami telah merekodkan kemenangan di tempat lawan sewaktu berdepan Tottenham Hotspur, Arsenal dan Chelsea. Jadi kami perlu beraksi bermati-matian di laman sendiri malam esok,” kata Solskjaer.
Ketika ini United berada di kedudukan keempat menerusi 51 mata, manakala Liverpool pula di tangga kedua dengan 65 mata.
Pertembungan pertama kedua-dua pasukan sebelum ini me-nyaksikan United yang berada di bawah kendalian, Jose Mourinho tewas 1-3 di Anfield. Pada aksi tersebut perancang mereka, Paul Pogba hanya memanaskan bangku simpanan sepanjang 90 minit permainan.
Bagaimanapun Solskjaer mendedahkan, dia mempunyai pendekatan yang jauh lebih berbeza ke atas Pogba berbanding Mourinho pada perlawanan itu malam esok.
“Saya akan menjadikan Paul (Pogba) sebagai nadi utama pasukan. Bagi saya Paul adalah seorang pemain yang sangat hebat dan berkemahiran tinggi.
“Dia juga memiliki bakat sebagai pemimpin yang boleh memberi inspirasi kepada pemain lain,” jelasnya lagi. – Agensi.










