KEPALA BATAS 23 Feb. – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakti, Tasek Gelugor di sini dipilih sebagai sekolah angkat Co-opbank Pertama (CBP) yang pertama tahun ini sekali gus menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM2,000.
Pegumuman mengenai pemilihan itu dibuat Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd. Nor Abd. Razak pada majlis mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu pagi ini yang dirasmikan beliau sendiri.
Menurut Mohd. Nor, pemilihan SMK Bakti itu adalah berdasarkan kepada pencapaian cemerlang pelajar-pelajar sekolah berkenaan dalam pelbagai pertandingan sukan dan kemahiran sama ada di peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa.
Malah, katanya, pemilihan itu juga mempunyai nilai sentimental tersendiri baginya yang merupakan alumni sekolah berkenaan.
“Saya amat berharap supaya kecemerlangan yang dicapai SMK Bakti ini dapat dikekalkan dan diteruskan tahun ini serta tahun-tahun mendatang sekali gus memastikan sekolah ini dapat menjadi kebanggaan semua,” katanya ketika berucap pada majlis itu pagi ini.
Sejak diperkenalkan pada April tahun lalu, sebanyak 53 buah sekolah di seluruh negara telah dipilih sebagai sekolah angkat CBP.
Setakat ini, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan merupakan negeri dengan sekolah angkat CBP paling banyak masing-masing dengan 12 buah sekolah.
Menurut Mohd. Nor, program sekolah angkat itu dapat memberi peluang kepada CBP menjalin hubungan lebih rapat dengan pihak sekolah sekali gus mempromosikan jenama institusi kewangan tersebut kepada masyarakat.
Dalam masa sama, ujar beliau, CBP juga dapat mendidik dan menggalakkan generasi muda mengenai kepentingan pengurusan kewangan yang bijak serta menggalakkan budaya menabung dalam kalangan pelajar di bawah program MyStar CBP. – UTUSAN ONLINE










