HULU LANGAT 22 Feb. – Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Semenyih di sini menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor campur tangan menyelesaikan isu pertikaian mengenai pengambilan tanah di sekolah tersebut.
Pengerusinya, Dr. K. Sivakumaran berkata, pihak pemaju Sime Darby Property berhasrat menuntut semula tanah sekolah seluas 0.4 hektar untuk membangunkan rumah kos rendah bagi bekas pekerja estet Ladang Semenyih.
Tegasnya, perkara itu jelas bercanggah dengan Garis Panduan Perancangan Bandar dan Desa Selangor, Garis Panduan Perancang dan Desa Semenanjung dan Garis Panduan Kementerian Pendidikan iaitu sebuah sekolah rendah perlu diberi tanah minimum enam ekar dalam sebarang projek pembangunan.
“Sekarang ini, sekolah kita baru mempunyai keluasan dua hektar dan pihak pemaju pula selalu putar belit dan tidak mematuhi garis panduan ditetapkan.
“Kes ini juga sudah berlanjutan selama 10 tahun dan sudah dibawa ke mahkamah. Namun, pihak pemaju sering menukar nama dan bermain isu teknikal setiap kali kes itu difailkan sehingga tidak boleh didengar di mahkamah.
“Jadi, isu ini bukan sahaja salah pihak pemaju bahkan juga merupakan kesilapan exco kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Kajang dan pejabat tanah yang tidak mengikut garis panduan sedia ada,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.
SJKT Ladang Semenyih ditubuhkan pada 1948 di atas tanah milik sebuah syarikat perladangan sebelum dijual kepada Sime Darby Property.
Bagaimanapun, katanya, pertikaian terjadi pada 2009 apabila pihak sekolah hanya diberikan 1.5 hektar tanah berbanding yang ditetapkan garis panduan iaitu minimum enam ekar.
Mengulas lanjut, Sivakumaran berkata, sekolah yang mempunyai 450 murid dan mencecah usia 72 tahun itu juga berdepan risiko bahaya sekiranya hasrat pihak pemaju ditunaikan.
“Apabila tanah diambil, maka sekolah akan menjadi sempit, tidak mempunyai jalan raya utama serta tidak selamat.
“Contohnya, apabila berlaku kebakaran sekolah sudah tidak mempunyai pintu pagar kedua dan murid-murid yang dihantar menggunakan kenderaan akan berhenti di tepi jalan sekali gus terdedah kepada risiko kemalangan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











