BAU 18 Feb. – Siniawan, sebuah pekan kecil yang terletak di Bau, kira-kira 25 km dari bandar raya Kuching, ialah antara beberapa pekan dan bandar di Sarawak yang masih mengekalkan struktur binaan bangunan kedai kayu lama.

Ia kelihatan seperti sebuah ‘pekan koboi’ mati dan sering disangka tidak menarik bagi pelancong untuk singgah atau berjalan-jalan ke situ.
Namun, siapa sangka, ‘pekan koboi’ yang terletak di tepi sungai itu bertukar menjadi meriah pada sebelah petang dan malam dengan kehadiran ramai penduduk setempat dan pengunjung luar yang mahu menyaksikan panorama waktu senjanya.
Pada waktu senja, suasananya cukup menggamitkan, seolah-olahnya anda berada pada zaman 70-an yang penuh dengan nostalgia.
Pada sebelah malam pula, dua blok deretan kedai kayu lama di pekan itu akan dilimpahi cahaya lampu merah tanglung Cina yang digantung di setiap lorongnya.
Peniaga kedai minuman, Bun Jan Min, 50, berkata suasana pada sebelah malam lebih meriah dengan para peniaga membuka gerai makan di sepanjang lorong pejalan kaki.
”Sambil menikmati suasana, pengunjung boleh menikmati pelbagai makanan masakan Cina sambil menyaksikan persembahan pentas dan nyanyian sebagai hiburan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Bagi pengunjung Islam pula, ada gerai yang menjual masakan Melayu dan makanan halal.
Sementara itu, pengunjung tempatan, Ekhwan Haque, 32, berkata, konsep pekan lama di Siniawan bukan sahaja menarik minat pelancong untuk datang ke situ, malah pengunjung juga boleh menikmati pelbagai makanan enak yang dijual di situ.
Beliau berkata kerajaan negeri perlu mempromosikan kawasan itu khususnya ketika kempen Tahun Melawat Sarawak 2019.

Kata beliau, ketika banyak lokasi pelancongan lain menawarkan reka bentuk bangunan moden, namun keaslian pekan lama Siniawan menyebabkan ia terus relevan kepada industri pelancongan.
”Bukan saja keaslian bangunan kedai lama, namun keenakan makanannyan juga antara faktor tarikan lain pelancong ke sini,” katanya. – BERNAMA









