KANGAR 22 Feb. – Seramai 18 orang pemain Perlis Northern Lions II memberi tempoh sehingga Isnin ini kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie untuk menyerahkan salinan kontrak yang ditandatangani mereka bagi menyertai pasukan itu, November tahun lalu.
Jika Ahmad Amizal Shaifit gagal berbuat demikian, mereka akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu berkenan yang didakwa melakukan penipuan.

Pemain, Wan Zul Hilmi Wan Mustapa, 25, berkata, dia ada menghantar mesej kepada Ahmad Amizal Shaifit bagi mendapat makluman mengenai perkara itu namun tidak berbalas.
“Sudahlah tidak bayar gaji, menipu pula dalam soal kontrak. Bila terikat begini, susahlah kami hendak pergi ke pasukan lain.
“Kami sudah lama beri masa dekat Presiden PFA, kalau masih berdiam diri, kami akan buat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.
Tambah Wan Zul Hilmi, dia tidak tahu nasib mereka sama ada bakal menerima tunggakan gaji atau sebaliknya selepas Singa Utara dibatalkan penyertaan dalam Liga Malaysia 2019 sekali gus geran yang dijanjikan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menyelesaikan gaji mereka menjadi tanda tanya.
Dia yang kini menjaga kebun mempelam harumanis bapanya ketika ini memaklumkan bahawa PFA berhutang gaji lebih tujuh bulan melibatkan hampir RM30,000 dengannya.

Seorang lagi pemain, Mohd. Alif Najmi pula mempersoalkan ke mana duit kutipan tiket dianggarkan hampir RM300,000 pada perlawanan persahabatan sebelum ini digunakan.
“Kami akan buat laporan kepada SPRM untuk siasat. Kutipan banyak, tak bolehkah guna sedikit untuk bayar gaji kami,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.
Mohd. Hafizi Mat Podzi, 24, pula berkata, mereka masih berharap MFL dapat memberikan geran sekali gus nembantu menyelesaikan tunggakan gaji mereka.
Dalam masa sama katanya, Presiden PFA itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam soal ini dan selepas itu terpulanglah sama ada hendak meletak jawatan atau sebaliknya.
“Tidak pernah dalam sejarah PFA di awal musim sudah tersangkut gaji. Sebelum ini, ada masalah sama, tetapi tidaklah seawal ini,” katanya yang memaklumkan PFA mempunyai tunggakan gaji sebanyak RM31,000. – UTUSAN ONLINE










