SAUDARA PENGARANG,
KAUNSELOR adalah pengamal yang memperoleh ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana dalam psikologi atau kaunseling. Oleh yang demikian mereka tidak layak untuk menyediakan ujian atau memberi dos ubatan sebaliknya hanya memberi terapi dan pengurusan kes.
Kini ramai dalam kalangan masyarakat kita yang sedar akan keperluan mencari bantuan daripada ahli profesional bagi mengatasi masalah kesihatan mental.
Ahli psikiatri, ahli psikologi dan kaunselor adalah semua pengamal kesihatan mental profesional tetapi perbezaan utama terletak pada perolehan atau kelulusan pendidikan dan latihan yang telah mereka jalani untuk memperoleh kelayakan masing-masing.
Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda tahu untuk dan jika anda memerlukan dan mencari perkhidmatan kaunseling. Pertama, memastikan kelayakan dan latihan mereka. Anda perlu meletakkan kepercayaan anda kepada ahli profesional yang telah memperoleh pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dari institusi sah.
Kedua, pastikan mereka berdaftar dengan mana-mana badan pentadbir seperti Lembaga Kaunselor Malaysia yang mengeluarkan lesen untuk kaunselor. Ambil perhatian bahawa pada masa ini, tiada undang-undang berkanun rasmi untuk amalan psikologi di Malaysia.
Terakhir, pengamal yang berwibawa biasanya bekerjasama dengan organisasi profesional yang memiliki reputasi dan akreditasi kepada masyarakat profesional masing-masing.
Sekiranya ada tanda-tanda yang tidak profesional seperti yang biasa didengar, maka elok sahaja anda tidak menggunakan perkhidmatan mereka.
PENDIDIK
Lembah Pantai











