Selesaikan mimpi yang tak sudah - Utusan Malaysia

Selesaikan mimpi yang tak sudah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA teorinya, rakyat boleh menarik nafas lega dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bimbang negara akan berada dalam keadaan malapetaka jika jurang miskin dan kaya semakin jauh. Dan lebih bahaya katanya, apabila situasi kekayaan, kemiskinan dikaitkan dengan kaum tertentu. Bagi rakyat, tentu akan ada tindakan susulan, bersama mekanisme atau pendekatan kerajaan yang pragmatik dan tersusun agar kebimbangan itu dapat diben­dung.

‘Teori’ dan ‘retorik’ merupakan antara kalimah yang kerap ‘menghantui’ pemikiran rakyat khususnya di akhir-akhir ini. Kedua-dua perkataan itu sering dikaitkan dengan kesangsian rakyat untuk meletakkan keyakinan sama ada sebarang dasar dan pendekatan yang dijanjikan dapat ditunaikan atau mampu diterjemahkan dengan sebaiknya.

Kenyataan Perdana Menteri itu misalnya ‘tidak akan ke mana’, jika anggota Kabinet kerajaan sendiri sengaja tidak berminat atau kurang ‘mengambil berat’ untuk memastikan status sosial masyarakat meliputi pelbagai kaum tidak terpisah jauh oleh soal kaya atau miskin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Isu jurang miskin kaya ini bukan baharu. Sejak tercetus peristiwa pahit 13 Mei 1969, kerajaan menyusun semula struktur pemilikan ekonomi antara semua kaum. Antara matlamatnya adalah bagi memastikan pengagihan kemakmuran lebih adil, khususnya bumiputera tetapi pada masa sama, tiada sebarang penafian hak untuk mana-mana kaum berusaha bagi memiliki kejayaan dan kekayaan dalam kehidupan masing-masing.

Apa yang diimpikan oleh orang Melayu dan bumiputera ialah memperoleh peluang membina kejayaan sesuai de­ngan ‘semangat’ kedudukan istimewa mereka, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebab itu, mereka rasa ‘terganggu’ apabila agensi-agensi khusus bagi membantu mereka, ‘mahu diusik’ dengan kehadiran kerajaan baharu. Bukan bermakna mereka ‘malas’ atau menagih ‘tongkat’ sepanjang kehidupan.

Orang Melayu sedia ditegur dan dinasihati jika pun ada sebarang kelemahan atau kekurangan. Namun mereka tidak bersedia memikul cemuhan dan leteran keterlaluan sehingga seolah-olah menggambarkan orang Melayu memiliki segala ‘keburukan’ baik dari segi sikap, usaha dan ilmu.

Pada umumnya, impian rakyat Malaysia adalah mahu hidup aman, makmur, damai, sentosa. Tiada prejudis atau sengketa antara kaum. Mereka mahukan ‘realiti’, sesuai de­ngan impian yang mereka andaikan semasa membuat perubahan besar dalam landskap politik negara pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Mei tahun lalu.

Sudah sembilan bulan berlalu. Rakyat kini tidak lagi berupaya menerima sebarang janji, helah atau alasan, atau juga ‘drama sedu tangis’ oleh pihak kerajaan, sebaliknya mahu melihat corak urus tadbir yang ‘berorientasikan tindakan’.

Maka semakin sedarlah kini bagi rakyat, mana-mana parti pun yang mendapat mandat memerintah negara perlu tahu menunaikan janji, menangani segala keperluan, membendung isu-isu membabitkan perpaduan antara kaum dan agama, serta mampu membawa rakyat melihat masa depan lebih me­yakinkan.

Bagi konteks politik, rakyat mahukan satu pakatan yang kukuh dan stabil dalam menerajui negara. Impian rakyat ialah konsep kesepakatan parti-parti komponen yang mendukungi pemerintahan biarlah ada nilai toleransi kukuh, saling menerima dan menghormati, serta mengambil kira keperluan semua, sesuai dengan struktur kenegaraan sedia ada.

Hidup bertunjang kenyataan sentiasa berani menempuh cabaran!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×