KUALA LUMPUR 4 Jan. – Selangor perlu segera mencari rentak terbaik dalam usaha menjadi sebuah pasukan yang digeruni, musim ini, selepas diikat 1-1 dengan juara Liga Perdana 2018, Felda United dalam aksi pembukaan Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.
Jurulatihnya, B. Sathianathan berkata, dia sudah menjangkakan anak-anak buahnya sukar mendapat rentak seperti yang diidamkannya memandangkan saingan musim ini, baharu sahaja bermula, di samping mereka masih belum ‘panas’.
Begitupun, jurulatih berusia 61 tahun itu mengakui, skuad Gergasi Merah itu bermain dengan baik dalam babak pertama, namun, terjadi sebaliknya pada separuh masa kedua.
“Belum di tahap yang saya idamkan. Ini perlawanan pertama, memang susah nak cari rentak. Walaupun aksi persahabatan kita bermain bagus, tetapi saingan semalam jauh berbeza.
“Saya memang sudah agak ia akan berlaku. Cuma tak jangka kami bermain dengan bagus pada separuh masa pertama, tetapi babak kedua kita kurang sikit. Mungkin kami terdesak nak cari gol kedua. Apapun kami kena berdisiplin jika berdepan situasi seperti itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Dalam perlawanan itu, Antonio German dari Grenada meletakkan Selangor di depan pada minit ke-41 menerusi percubaan dari luar kotak penalti, sebelum kapten Felda, Mohamad Hadin Azman menyamakan kedudukan pada minit ke-69.
Mengulas lanjut, Sathianathan berkata, kesebelasan utama Selangor akan dirombak untuk menghadapi aksi kedua menentang pendatang baharu, PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sabtu ini dan amat berharap dua tonggak, Syazwan Zainon serta Syahmi Safari sempat pulih daripada kecederaan.










