Saya tidak kenal Uncle Kentang – Muhyiddin - Utusan Malaysia

Saya tidak kenal Uncle Kentang – Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Presi­den Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muh­yiddin Yassin mengakui tidak mengenali Kuan Chee Heng ataupun lebih dikenali sebagai Uncle Kentang yang menyatakan hasrat bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Namun begitu, jelas Muh­yiddin, beliau mengambil sikap terbuka dan tidak akan memandang rendah cabaran yang akan diberikan oleh aktivis masyarakat tersebut.

“Saya tak kenal Uncle Kentang, apa pun saya tak kisah, pilihan raya kecil ini kita amalkan sistem demokrasi, siapa nak bertanding boleh bertan­ding, bukan di sini saja, tempat lain pun begitu.

“Tidak mengapalah, siapa pun kita akan menghadapi sebagai calon. Kita tak mahu pandang rendah dia, tiada sikap sebegitu, masa pilihan raya rakyat adalah penentu dan kita tidak tahu sikap rakyat sama ada akan menyokong kita atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan de­ngan Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Hulu Langat dan ketua kampung serta peng­hulu di DUN Semenyih dekat sini hari ini.

Chee Heng baru-baru ini mengesahkan akan bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK Semenyih, 2 Mac ini dan akan menggunakan lambang telefon untuk menentang calon daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasio­nal (BN).

Menurutnya, hasratnya bertanding bukanlah kerana mempunyai reputasi yang baik dengan orang susah tetapi untuk menjadi pendesak kepada dua calon lain iaitu daripada PH dan BN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN