Saya sudah sihat, akan 'berkampung' di Semenyih - Azmin - Utusan Malaysia

Saya sudah sihat, akan ‘berkampung’ di Semenyih – Azmin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata dirinya kini sudah sihat selepas menjalani pembedahan pada 1 Februari lalu, dan akan ‘berkampung’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih untuk membantu Pakatan Harapan (PH) kekal menguasai DUN tersebut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang.

Beliau pada masa sama melahirkan keyakinan untuk berdepan PRK itu berdasarkan pencapaian pentadbirannya di Selangor sebelum ini sebagai Menteri Besar.

“Saya akan berkampung di Semenyih. Semenyih adalah sebahagian daripada Selangor dan Selangor dekat di hati saya.

“Saya sudah sihat, badan saya bertambah ringan, jadi mudah saya bergerak,” katanya kepada pemberita dalam program PKR di sini hari ini.

Mohamed Azmin pada masa sama hanya melihat kerjasama UMNO dan Pas sebagai strategi pembangkang namun percaya rakyat Selangor masih menyokong partinya.

Jelasnya, PH selama mempamerkan pentadbiran cemerlang di Selangor dan prestasi itu dapat digambarkan apabila menguasai 51 daripada 56 DUN negeri tersebut semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Hari mengundi PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd. Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN