SUDAH seminggu Maisah Duripin, 45, tidak turun ke pantai. Pagi itu, suami beritahu duit di dalam dompetnya hanya berbaki RM30. Sehari sebelum itu, pasangan suami isteri ini telah berbelanja sebanyak RM120 untuk membayar yuran sekolah anak-anak.
Hati Maisah gundah gulana memikirkan nasib anak-anak yang masih kecil dan tidak mengerti tentang kemiskinan ibu dan ayah mereka.
Kata ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia bukan malas bekerja tetapi ada sebab kenapa dia perlu bercuti selama itu. Katanya, seminggu yang lalu dia terpijak teritip ketika mencari umpun-umpun di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Ekoran itu, dia terpaksa mendapatkan rawatan di hospital dan luka di tapak kaki menerima tiga jahitan.
“Sudah seminggu kami tak turun ke pantai. Suami beritahu duit tinggal RM30. Semalam kami sudah belanja banyak untuk yuran sekolah anak. Hari ini saya gagahkan juga ke pantai untuk mencari umpun-umpun,” katanya kepada penulis sambil memberitahu tapak kakinya masih berasa sakit.
Menurutnya, air masin menyebabkan luka yang berjahit berasa pedih membuatkan dia terpaksa berehat selama seminggu.
Apabila Maisah berehat, suaminya, Norhamizi Abd. Manan, 45, terpaksa menemaninya di rumah. Norhamizi pun bukannya sihat sangat. Dia ada penyakit hati yang mana fungsinya dikesan semakin merosot setiap kali mendapatkan rawatan di hospital. Ini menyebabkan hospital menjadi ‘rumah keduanya’.
“Kalau saya tak turun ke pantai, suami juga terpaksa ‘bercuti’ bersama. Sejak ada masalah kemurungan, saya tak boleh duduk di rumah tanpa ditemani suami.
“Lagi pula, saya ada seorang anak kurang upaya (OKU) yang memerlukan perhatian lebih,” ujarnya.
Penulis yang kebetulan sedang mengadakan aktiviti perkhemahan bersama rakan-rakan di Pantai Cahaya Negeri ternampak Maisah sedang mencari sesuatu di tepi pantai.
Perasaan ingin tahu mendorong penulis mendekatinya. Ketika itu air laut semakin surut. Dua anaknya, Nazril Nazmi, 6, dan Urwatul Wusqa, 2, leka bermain air, manakala seorang lagi anaknya, Mohd Norshazimi, 10, bersama suaminya sedang mencari umpum-umpun di pantai sebelah. Anak sulung pasangan ini menghidap autisme.
Pasangan suami isteri ini merupakan nelayan umpun-umpun yang meraih pendapatan ‘hanya cukup makan’ untuk keluarga.
“Saya ikut suami mencari umpun-umpun sejak 11 tahun lalu. Ini bermakna sejak berkahwin saya sudah bekerja sebagai nelayan umpun-umpun. Suami pula sudah lebih 20 tahun melakukan pekerjaan ini. Dulu, kawasan pantai di sini banyak umpun-umpun, rezeki sentiasa murah.
“Tetapi sekarang payah nak dapat umpun-umpun kerana hampir pupus,” katanya yang memberitahu hidupan itu semakin berkurangan kerana sikap segelintir pihak yang mahu ‘kerja senang’ iaitu mencari umpun-umpun menggunakan penyodok atau cangkul.
Menurutnya, penyodok dan cangkul akan menyebabkan badan umpun-umpun terputus dan mati manakala kawasan yang dikorek lama kelamaan terhakis.
“Sekitar lima hingga 10 tahun lalu, dalam tempoh satu jam kami boleh dapat 10 bungkus umpun-umpun. Sekarang…tengok sendirilah (sambil menunjukkan umpun-umpun di dalam sebuah bekas plastik kepada penulis),” katanya.
Menurutnya, dari pukul 10.30 pagi sehingga 2 petang gigih mencari umpun-umpun, hasil yang diraih pasangan ini hanya cukup untuk mengisi sembilan bungkus plastik.
Katanya, setiap plastik akan diisi dengan lima ekor umpun-umpun dan dijual pada harga RM5. Ini bermakna seekor cacing laut itu berharga hanya RM1.
Katanya, umpun-umpun yang ditangkap diletakkan di dalam beg plastik merah berisi pasir dan kemudian dijual di kedai tepi jalan dekat pantai. Ini bermakna pada hari tersebut dia dan suami memperoleh pendapatan sebanyak RM45.
Ditanya mengenai bantuan daripada pihak tertentu, katanya, mereka menerima RM200 sebulan daripada Baitulmal sejak lebih setahun lalu. Selain itu, elaun untuk anak OKU diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM160 sebulan.
‘Memanggil’ umpun-umpun
Umpun-umpun tergolong dalam keluarga cacing. Ada yang menyebutnya perumpun, ruat atau pompon. Terdapat beberapa jenis umpun-umpun, antaranya sarang/sarung, ruat/bakau, pasir dan merah/beting.
Hidupan ini menjadi ‘buruan’ pemancing untuk dijadikan umpan. Ia boleh dibeli dari kedai pancing atau gerai tepi jalan berdekatan pantai atau lokasi popular kaki pancing.
Dalam meraih rezeki umpun-umpun, Maisah dan Norhamizi menggunakan teknik menangkap umpun-umpun dengan tangan. Mereka menangkap umpun-umpun bakau dan pasir.
Kewujudan hutan paya bakau di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson membuka rezeki kepada Maisah dan suami untuk mencari umpun-umpun bakau. Spesies ini mendiami kawasan akar pokok bakau. Norhamizi pula mencari umpun-umpun pasir yang hidup di kawasan berpasir iaitu pantai tumpuan pengunjung.
Ada cara untuk ‘memanggil’ umpun-umpun supaya muncul di permukaan pasir. Hidupan itu tertarik pada bau dedak ayam dan belacan. Adunan itu digaul dalam baldi berisi air kemudian ditabur sepanjang tepian pantai. Sebaik sahaja ‘umpan’ ditabur, mata Maisah fokus melihat pergerakan di permukaan pasir.
Umpun-umpun yang tertarik dengan bau yang kuat itu akan timbul. Kepala umpun-umpun yang terjulur keluar dari pasir hanya sepanjang kira-kira setengah sentimeter. Memang sukar untuk melihatnya kecuali bagi mereka yang sudah biasa.
Apabila ternampak kepala umpun-umpun terjulur keluar dari pasir, Maisah akan meletakkan hujung jarinya pada kepala umpun-umpun tersebut.
Maisah memakai sarung tangan untuk mengelak rasa geli ketika umpun-umpun itu menggigit. Apabila terasa gigitan, Maisah akan menarik keluar cacing tersebut.
“Adakalanya putus, dapat separuh sahaja. Itupun saya sudah bersyukur,” katanya yang mahu menjadi nelayan umpun-umpun untuk tempoh beberapa tahun lagi.











