PENYERANG baharu Petaling Jaya City FC (PJ City), Mohd. Safee Sali mengakui program yang direncanakan oleh pihak pengurusan untuk muncul sebagai pencabar dalam saingan Liga Super membuatkannya tertarik memilih pasukan tersebut.
Mengulas lanjut, penyerang berusia 35 tahun itu mengakui telah menolak tawaran lain daripada pasukan Liga Super dan Liga Premier kerana percaya dengan projek yang direncanakan oleh PJ City.
“Saya gembira apabila dapat menyertai pasukan baharu seperti PJ City selain kembali bekerjasama dengan orang yang saya kenali pada awal karier dan boleh dipercayai seperti K. Devan (ketua jurulatih PJ City).
“Meskipun PJ City masih baru, mereka telah menunjukkan potensi yang baik pada awal saingan dan di bawah kendalian Devan, saya yakin pasukan ini melonjak ke tahap yang lebih tinggi dengan memberi persaingan pada Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.
“Secara peribadi, saya sangat selesa dengan Devan kerana pernah berada di bawah kendaliannya bersama Selangor selama hampir tiga tahun dan menjulang lima trofi. Dia sangat memahami corak permainan saya dan saya harap dapat membalas kepercayaannya,” katanya.
Bekas penyerang kebangsaan itu ditemui pada majlis pengenalan dua pemain baharu PJ City yang berlangsung di Menara Qi, Petaling Jaya semalam.
Selain Safee, pemain baharu yang ditandatangani oleh pasukan Liga Super itu ialah pemain import dari Brazil, Sergio Paulo untuk menggantikan dengan pemain penyerang, Giancarlo Rodrigues.
Selain itu, Safee berharap Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bersedia memanjangkan tempoh pendaftaran pemain yang tamat secara rasmi semalam khusus buat bekas rakan sepasukannya dalam skuad Perlis.
Katanya, tidak semua bernasib baik untuk berhijrah dengan mendapat tawaran daripada pasukan baharu sepertinya dan MFL perlu mempertimbangkan karier barisan pemain Singa Utara yang masih ‘terperangkap’ dalam pasukan itu musim ini.
“Namun, ramai bekas rakan sepasukan saya di Perlis masih gagal mendapat pasukan baharu dan ia mungkin boleh membunuh karier memandangkan pihak pengurusan seperti tidak mengambil peduli kebajikan pemain,” jelasnya.
PJ City dijadualkan bertemu dengan Kedah dalam aksi Liga Super esok.










