KUALA LUMPUR 4 Feb. – Jabatan Kerja Raya (JKR) memerlukan peruntukan kira-kira RM2 bilion setahun bagi menyenggara serta membaik pulih jalan raya di negara ini yang kebanyakannya sudah ‘usang’ dan berusia hampir 50 tahun.
Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Roslan Md. Taha berkata, bagi tahun lalu, peruntukan bagi keperluan itu begitu terhad iaitu sekitar RM700.5 juta yang mana kekangan jumlah tersebut menjadi salah satu faktor penurunan jangka hayat sesuatu jalan di negara ini.
“Perkara berkenaan sentiasa diambil kira serta dinilai berdasarkan pertambahan bilangan dan jenis kenderaan yang melalui jalan berkenaan selain turut menekankan faktor bebanan trafik dan ekonomi tinggi di sesuatu kawasan.
“Tempoh jangka hayat reka bentuk sesuatu jalan yang mempunyai bebanan trafik tinggi dicadangkan sehingga 20 tahun manakala laluan yang mempunyai bebanan trafik rendah (luar bandar) pula, jangka hayatnya lebih pendek iaitu sekitar 10 tahun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Roslan memberitahu, dua jalan paling kritikal penggunaannya yang menjadi laluan paling kerap dilalui pelbagai jenis kenderaan berat melebihi muatan iaitu jalan Pelabuhan Barat-Lebuhraya Pulau Indah serta laluan industri Kuala Pilah-Bahau (kilang simen).
“Kedua-dua laluan berkenaan merekodkan peratusan kenderaan berat melebihi muatan paling tinggi iaitu sebanyak 58.6 peratus berbanding jalan-jalan pelabuhan, industri serta persekutuan lain di negara ini.
“Peningkatan drastik kenderaan termasuk lori yang melebihi had muatan tujuh gandar iaitu melebihi 53 tan di kawasan itu memungkinkan lagi kemerosotan fungsi sesuatu turapan sekali gus memendekkan jangka hayat reka bentuk jalan sedia ada,” ujarnya.
Katanya, demi menampung bebanan kenderaan berat berkenaan, JKR terpaksa mengambil langkah dengan menaik taraf jalan tersebut daripada segi ketebalan.
“Ketebalan reka bentuk jalan di pelabuhan di tambah daripada 180 milimeter (mm) kepada 300 mm selain inisiatif seumpama kajian berperingkat berhubung penggunaan getah sekerap (Cuplumps Modified Asphalt) dalam turapan di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia turut dilakukan bagi meningkatkan ketahanan dan jangka hayat jalan” katanya.










