KUANTAN – Pasangan remaja berusia 16 dan 18 tahun antara 85 individu ditahan polis selepas kedua-dua mereka didapati positif ‘pil goyang’ atau ekstasi ketika Ops Sarang Bersepadu di sini hari ini.
Remaja perempuan berkenaan bersama teman lelakinya itu ditahan ketika sepasukan polis mengadakan serbuan di sebuah rumah tumpangan dekat Jalan Teluk Sisek di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yusof Ali berkata, remaja bawah umur terbabit merupakan satu-satunya perempuan yang ditahan menerusi operasi tersebut.
“Sebanyak 50 buah rumah dan sarang penagihan di sekitar pusat bandar, Beserah, Cherating, Tanjung Lumpur serta kawasan Felda diperiksa bermula pukul 11 malam tadi hingga 3 petang, hari ini.
“Selain itu, polis juga melakukan pemeriksaan ke atas 298 individu yang membawa kepada tangkapan seramai 85 orang.
“Polis turut merampas 2.05 gram heroin serta 4.9 gram syabu melalui operasi ini,” ujar beliau ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini petang tadi.
Dalam operasi tersebut, polis turut menahan penagih paling tua berumur 68 tahun dan merupakan seorang bekas banduan yang baharu dibebaskan empat hari lalu.
“Mereka semua ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, pihaknya menyiasat 6,198 kes yang melibatkan 6,824 tangkapan berkaitan dadah di sekitar daerah ini pada tahun lalu. – K! ONLINE
caption: Mohd. Nor menyoal remaja perempuan berusia 16 tahun yang ditahan menerusi Ops Sarang Besepadu di Kuantan petang tadi. – K! ONLINE











