Remaja maut motosikal bertembung kereta - Utusan Malaysia

Remaja maut motosikal bertembung kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH 18 Feb.- Dua remaja maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta ketika motosikal itu ditunggang dengan cara melawan arus di Kilometer 2.7 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala ke Perai semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 malam, pembonceng motosikal berkenaan yang merupakan seorang remaja perempuan berumur 15 tahun maut di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal pula, remaja lelaki berusia 17 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Difahamkan kedua-duanya merupakan pasangan kekasih dan siasatan awal pihak polis mendapati penunggang motosikal tidak mempunyai lesen.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd. Hamid berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa menaiki motosikal jenis Yamaha 125 dan semasa kemalangan mereka telah menunggang motosikal melawan arus.

“Kemudian motosikal tersebut bertembung dengan kereta jenis Mercedes Benz  yang datang dari arah Butterworth menghala ke Perai.

“Kemalangan ini berlaku di lorong kanan lebuh raya berkenaan dan menyebabkan pembonceng motosikal terpelanting sebelum maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,”katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemandu kereta berusia 21 tahun yang terlibat dalam kemalangan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×