BANDAR GAZA, Wilayah Palestin – Seorang remaja lelaki Palestin terbunuh kelmarin akibat ditembak tentera Israel ketika satu bantahan di sepanjang sempadan Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Mangsa, Yussef al-Daya, 14, terkena tembakan pada bahagian dada di kawasan timur Bandar Gaza, menurut jurucakap kementerian itu, Ashraf al-Qudra.
Beliau juga mengesahkan kira-kira 30 lagi rakyat Palestin disahkan cedera akibat terkena tembakan tentera Israel ketika bantahan diadakan di sepanjang sempadan itu.
Tentera Israel mendakwa kira-kira 8,000 rakyat Palestin berhimpun dan mengadakan bantahan di beberapa lokasi di sepanjang kawasan sempadan, tanpa menjelaskan mengenai kematian remaja itu.
Kumpulan penunjuk perasaan membakar tayar, membaling bom tangan, peranti pembakar dan batu ke arah anggota kami, dakwa seorang jurucakap tentera Israel kepada agensi berita AFP.
Sekurang-kurangnya 251 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh sejak bantahan bermula pada bulan Mac 2018, sebahagian besar akibat tembakan, bedilan kereta kebal dan jet tempur rejim Zionis. – AFP










