Raja Perlis terima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi Kanada - Utusan Malaysia

Raja Perlis terima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi Kanada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 20 Feb. – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap hormat oleh Pesuruhjaya Tinggi Negara Kanada ke Malaysia, Julia Greenwood Bentley di Balai Menghadap Biru Istana Arau.


Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.


Bentley diiringi Pegawai Perhubungan Awam dan Politik pejabat beliau di Kuala Lumpur, S.R. Dayalan.


Beliau mengadakan lawatan kerja ke negeri Perlis selama dua hari bermula Ahad petang dan mempersembah maklum kepada Tuanku Raja Perlis betapa terujanya merasai sendiri ketenangan hidup dan keindahan alam semulajadi di negeri Perlis.


Ketika di Perlis, beliau berkesempatan menelusuri Sungai Perlis menaiki bot dan melihat matahari sedang terbenam di samping menyertai program kayuhan berbasikal MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf ke dalam kampung mengiringi Tuanku Raja Muda dan berpeluang menoreh getah dan berjalan di dalam petak sawah padi.


Beliau juga tertarik dengan pengalaman buat pertama kalinya melawat sebuah sekolah rendah di negara ini iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indera di Kangar yang mana tahap penguasaan bahasa Inggeris para pelajar yang ditemui beliau didapati adalah baik sekali.


Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang walaupun hanya baru berusia 17 tahun telah mendapat kedudukan ranking yang baik dan mencapai pelbagai anugerah baik dari dalam dan juga luar negara dan momentum tersebut harus dikekalkan.


Beliau juga berharap segala perancangan pembangunan negeri ini seperti dimaklumkan dalam taklimat yang disampaikan oleh pihak pejabat Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Negeri Perlis dan juga Pejabat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Negeri Perlis kepada beliau akan berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang.


Beliau menyatakan hasrat untuk kembali lagi ke Perlis secara tidak rasmi di dalam musim mangga harumanis dan melawat beberapa lokasi menarik lain di negeri ini yang tidak sempat dikunjungi seperti Gua Kelam dan pekan sempadan Padang Besar.


Untuk rekod, PYT Bentley yang berkelulusan BA (Pengajian Asia Timur) Princeton University 1981, Postgraduate Diploma (Sejarah Moden China) Nanjing University 1983 dan MA (Pengajian Asia Timur) University of Toronto 1984 mula berkhidmat di Malaysia pada bulan Oktober 2017.


Sebelum ini beliau juga pernah ditugaskan di pejabat Perwakilan Negara Kanada di Taipei (Taiwan), New Delhi (India) dan Beijing (China) sebanyak dua kali. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN