Raja, benteng terakhir kita - Utusan Malaysia

Raja, benteng terakhir kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINDAKAN segelintir rakyat kita menghina Yang di-Pertuan Agong serta institusi diraja secara berterusan adalah satu perbuatan yang sangat tidak wajar dan biadab. Walaupun sudah banyak kali perkara ini berlaku dari pihak berkuasa juga sudah melakukan tangkapan dan menjatuhkan hukuman, namun masih ada yang tidak ambil iktibar. Malah boleh dikatakan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Terkini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 turut menjadi mangsa sekali gus mencetuskan kemarahan rakyat yang mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit. Ironinya, kenapa masih ada yang bacul dan biadab serta tidak mahu menghormati institusi diraja yang menjadi tiang seri dan payung kedaulatan negara? Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita sewajarnya menghormati ketua negara tanpa sebarang pertikaian mahupun kompromi. Sedihnya perkara sebegini terus berlaku tatkala kita memasuki usia kemerdekaan 62 tahun. Penulis sering tertanya-tanya kenapa susah sangat hendak hormati ketua negara sehingga sanggup ambil risiko menghina dalam media sosial?

Anggota masyarakat perlu sedar kebebasan bersuara ada had dan batasnya. Tidak ada kebebasan mutlak atau 100 peratus di dunia ini dalam apa jua perkara. Betul kita ada kebebasan bersuara seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi itu bukan pasport mahupun lesen mutlak untuk kita cakap apa saja yang dimahukan tanpa mempedulikan hak dan sensitiviti masyarakat lain. Malah kedudukan institusi diraja juga terpateri dan terpelihara kemas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jadi bagi mereka yang masih tidak faham atau buat-buat tidak faham, jangan salahkan netizen yang marah dan membuat laporan polis, dan jangan juga marah dan salahkan pihak berkuasa jika mengambil tindakan yang sepatutnya untuk terus mempertahan dan memelihara kedudukan institusi diraja di negara ini. Tindakan menyalahgunakan kebebasan bersuara yang telah diberikan wajar diajar dengan tindakan punitif atau hukuman yang setimpal supaya menjadi pedoman, pengajaran dan iktibar kepada yang lain. Media sosial adalah satu kemudahan dan bukannya hak.

Jadi jangan kita terus salah guna dengan menjadikan media sosial sebagai platform untuk mencetuskan provokasi atau baling batu sembunyi tangan. Ingat, kecanggihan teknologi boleh mengenalpasti setiap pengguna media sosial yang bertindak di luar batasan dan mengancam keamanan negara. Jangankan disebabkan tindakan segelintir individu yang tidak bertanggungjawab, kerajaan terpaksa mengambil tindakan agresif untuk menyekat penggunaan media sosial di negara kita kelak.

Masyarakat juga perlu sedar dan faham betapa kedudukan institusi diraja itu adalah melampaui kedudukan parti politik di negara kita. Institusi diraja adalah entiti yang bebas daripada politik apatah lagi politik perkauman. Jadi tidak wajar sama sekali ahli politik dan penyokong mereka mengheret institusi diraja ke kancah politik. Harus diingat, tidak kira parti mana memerintah sekalipun, institusi diraja adalah bebas dan tidak masuk campur. Jadi pertukaran kerajaan dan tampuk pemerintahan juga tidak memberikan sebarang lesen dan kuasa kepada mana-mana pihak untuk mempertikai kedudukan raja apatah lagi menghina. Maka kita harap baik parti memerintah mahupun pembangkang akan memahami dengan jelas garis pemisah dan sempadan antara kedudukan institusi diraja dan institusi politik supaya masing-masing dapat mengawal ahli dan penyokong dari bertindak melulu dan biadab. Sedarlah, apapun berlaku dalam institusi politik negara, institusi diraja adalah benteng pertahanan dan harapan terakhir seluruh rakyat Malaysia.

Jujurnya, penulis sangat kecewa dan bimbang dengan apa yang sedang berlaku terhadap institusi diraja di negara kita. Kecewa kerana perbuatan menghina ini dilakukan oleh rakyat kita sendiri yang masih gagal memahami kedudukan institusi diraja. Bimbang kerana tindak tanduk segelintir anggota masyarakat yang terus derhaka ini boleh mencetuskan provokasi dan kemarahan dalam kalangan masyarakat. Kita khuatir jika perkara seumpama ini terus berlaku tanpa sekatan dan kawalan yang sewajarnya, ia boleh mencetuskan huru hara dan pergaduhan dalam masyarakat. Ini sekali gus akan mengganggu ketenteraman awam dan keamanan negara serta mengheret negara ke kancah perang saudara. Apakah itu yang kita mahukan?

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN