IPOH 20 Feb. – Pusat hiburan di Jalan Sultan Dr. Nazrin Shah yang terbakar dan mengorbankan enam individu dalam kejadian hari ini beroperasi secara sah.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah bagaimanapun berkata, siasatan lanjut akan dijalankan sama ada premis berkenaan beroperasi lebih masa atau sedang dalam proses menutup operasi ketika kejadian berlaku.
Katanya, tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap pemilik premis itu sekiranya didapati melakukan kesalahan tersebut.
“Semakan awal mendapati premis ini memiliki lesen yang sah bagi menjalankan operasi pusat hiburan. Namun, siasatan lanjut akan dilakukan sama ada ketika kejadian itu, premis berkenaan sedang beroperasi atau dalam proses tutup.
“Jika benar ia masih beroperasi, kita akan ambil tindakan sewajarnya. Buat masa sekarang, kita sedang berusaha menghubungi pemilik premis bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










