Punca jurang kaya, miskin jadi besar - Utusan Malaysia

Punca jurang kaya, miskin jadi besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Masalah etika dan moral yang berlaku dalam kalangan masya­rakat sehingga menyebabkan ketidakseimbangan sosial berlaku menjadi satu daripada punca jurang golongan kaya dan miskin terlalu besar ketika ini.

Naib Pengerusi Ka­nan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, hal itu kerana aspek etika dan mo­ral tidak lagi diberi penekanan dalam kebanyakan perkara.

“Pembangunan sosial berdasarkan nilai-nilai murni dapat meminimumkan masalah sosial dan pada masa sama memberi manfaat kepada pembangunan negara. Kita tidak boleh mengukur kemajuan masyarakat dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kemajuan teknologi semata-mata.

“Sifat tanggungjawab dan pemurah hati golongan kaya untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik perlu diambil kira apabila kita mahu mencapai pembangunan sosial secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, pembangunan sosial berdasarkan nilai-nilai murni dapat meminimumkan masalah sosial dan pada masa sama memberi manfaat kepada pembangunan negara.

Katanya, pembangunan negara perlu dicapai menerusi institusi keluarga yang kukuh kerana ia adalah tempat terbaik untuk menghasilkan generasi muda yang mampu menjadi tunjang negara.

“Kewujudan masyarakat penyayang amat penting kerana ia mampu menjadikan manusia mempunyai belas ihsan, memahami orang lain, adil dan  pemurah. Atas dasar ini, lebih banyak perlu dilakukan oleh golongan kaya untuk membantu golongan miskin dan kurang bernasib baik.

“Penting untuk kita mengamalkan budaya penyayang agar setiap rakyat menjadi insan penyayang dan prihatin terhadap golongan miskin dan kurang bernasib baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN