HULU LANGAT 23 Feb.- Parti Sosialis Malaysia (PSM) bimbang peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akan berkurangan mengambil kira keadaan pengundi yang dilihat tidak menunjukkan keterujaan.
Pengarah PRK DUN Semenyih PSM, S. Arutchelvan berkata, hasil kajian pihaknya setakat tempoh kempen yang berlangsung, pengundi Semenyih tidak menunjukkan keterujaan dan keghairahan luar biasa.
“Suasana di bawah sepi dan sejuk, kami fikir ini akan menjejaskan jumlah keluar mengundi. Anak muda kita nampak tidak berapa teruja dalam PRK ini.
“Keterujaan itu kita tak nampak, kita saja yang teruja. Jadi harap anak muda ini menzahirkan protes dengan cara dengan mengundi PSM, kerana calon kami lebih banyak boleh dikaitkan dengan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat PSM Semenyih, di sini hari ini. Yang hadir sama, calon PSM, Nik Aziz Afiq Abdul.
Sementara itu, Nik Aziz Afiq berkata, selepas seminggu berkempen, PSM mendapat sambutan yang positif daripada masyarakat termasuk dalam kalangan orang Melayu.
“Setakat ini kempen PSM yang belum ada masalah, tiada kena tengking, tiada kena halau, di simbah cat dan sebagainya. Kami mendapat ruang yang cukup positif dalam masyarakat.
“Ketika pihak lain bergaduh, bertekak sesama sendiri tentang pelbagai isu yang bukan berkaitan rakyat, kami ambil peluang untuk ketengahkan perkara-perkara yang menjadi denyut nadi masyarakat,” katanya.-UTUSAN ONLINE.










