DARI semalam, macam ada sedikit songsang apabila membaca kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kedudukan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Abdul Hadi pada paginya berjumpa dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya dan ketika ditemui pemberita pada sebelah petangnya menyifatkan Semenyih lain kerana di Cameron Highlands Pas lawan DAP.
Lebih menimbulkan tanda tanya apabila Ahli Parlimen Marang itu siap berkata, “Apa yang penting kita mahu kedudukan orang Melayu dan Islam kuat dalam kerajaan,”, seperti dilapor portal Astro Awani.
Bingung juga kata seorang rakan memikirkan maksud tersirat Abdul Hadi ketika menghantar pautan itu ke dalam kumpulan perbualan WhatsApp.
Justeru apabila riuh rendah media sosial berkongsi pautan kenyataan Dr. Mahathir selepas majlis di ibu negara hari ini yang Pas tidak akan sokong UMNO di Semenyih, maka terjawablah persoalan tadi.
Ikutkan kenyataan Dr. Mahathir, bukan setakat cakap mulut, bahkan ada perakuan bertulis lagi. Setakat artikel ini ditulis belum ada kenyataan balas daripada Abdul Hadi.
Inilah barangkali cuba dinyatakan Abdul Hadi sejak semalam tetapi tidak tercapai. Ataupun sejak kecoh dengan isu helah dan tipu, mungkin pendekatan ini juga dipakai kerana mereka juga ahli politik.
Satu dunia pun tahu Pas memang memberi sokongan kepada UMNO bagi melawan Pakatan Harapan (PH) di Semenyih hinggakan ada suara nakal mengatakan pemilihan calon Barisan Nasional (BN) berdasarkan kriteria dikehendaki Pas.
Pagi tadi pun pimpinan tertinggi Pas diketuai Naib Presidennya, Datuk Iskandar Abdul Samad mengiringi perarakan calon BN. Macam tiada apa-apa.
Apa pun, ini lah politik. Sentiasa dinamik hinggakan minyak boleh bercampur air. Senang cakap tiada yang mustahil.
Dijangkakan Abdul Hadi mempunyai majlis petang ini di Terengganu, tunggu dan lihat respons beliau. Pastinya ini baru babak awal kepada politik negara. -UTUSAN ONLINE










