SEMENYIH – Sebanyak dua lagi kertas siasatan dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan lapan kertas siasatan dibuka daripada 28 laporan polis sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sejak 16 Februari lepas hingga 11 pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd. Sabri Abdullah berkata, dua kertas siasatan itu melibatkan satu lagi kesalahan menurut Akta Pilihan Raya 1954 iaitu memberi ceramah tanpa permit dan satu kes di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Khianat).
“Terbaharu pada 23 Februari, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki mendakwa dua banner calon PRK dipotong di kawasan Taman Tasik Semenyih.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Khianat). Setakat ini pihak polis masih menjalankan siasatan,” katanya pada sidang media di Balai Polis Semenyih di sini hari ini.
Katanya, sehingga semalam, sebanyak 154 permit kempen politik telah dikeluarkan oleh polis iaitu 78 permit untuk Pakatan Harapan, 66 kepada Barisan Nasional (BN) dan 10 permit untuk Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Dalam perkembangan lain, Mohd. Sabri berkata, proses pengundian awal Selasa ini membabitkan 951 pegawai dan anggota polis.
“Seramai 854 pegawai dan anggota polis akan mengundi di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dan di IPD Kajang seramai 97 anggota.
“Proses pengundian awal di Kem Batalion 4 PGA bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang, manakala di IPD Kajang bermula pukul 8 pagi hingga 4 petang,” katanya. – Bernama











