PPS perlu kunjungi sekolah dua kali sebulan - Utusan Malaysia

PPS perlu kunjungi sekolah dua kali sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 18 Feb. – Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) disaran untuk melakukan kunjungan ke sekolah sekurang-kurangnya dua kali dalam sebulan bagi memberi nasihat berkaitan kepolisan kepada pelajar.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, PPS yang terdiri daripada anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu boleh datang ke sekolah pada bila-bila masa dan tidak terhad pada hari perhimpunan sekolah sahaja.

“Selain hari perhimpunan, PPS juga boleh menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bertemu guru besar, bermesyuarat dengan guru-guru atau berjumpa terus dengan pelajar.

“KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kementerian adalah untuk memastikan PPS masuk ke sekolah sekurang-kurangnya dua kali sebulan dan kita percaya kehadiran polis mampu mengurangkan kes disiplin dan jenayah dalam kalangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan dan PDRM di Sekolah Rendah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1),  di sini hari ini. 

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Rusdi Mohd. Isaz.

Mengulas lanjut Nie Ching berkata, dalam usaha memperkukuhkan program berkenaan, papan kenyataan PPS juga turut diperkenalkan di semua sekolah seluruh negara.

“Semua sekolah digalakkan menyedia dan menggunakan papan kenyataan tersebut untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar dan polis berkaitan aktiviti serta program yang berlaku di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam perutusan yang dibacakan Rusdi sempena program itu berkata, PPS berperanan dalam membantu mewujudkan suasana sekolah yang selamat seperti yang digariskan dalam Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah.

“Antara perkara yang dilakukan adalah mengumpul maklumat daripada sekolah untuk diambil tindakan oleh kementerian dan PDRM.

“Selain itu, mereka juga boleh melakukan rondaan, lawatan berjadual di kawasan sekolah dan memberikan ceramah berkaitan hal-hal keselamatan kepada warga sekolah, jika perlu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN