KLANG – Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup rokok putih dengan nilai termasuk cukai berjumlah lebih RM3.1juta selepas berjaya menahan sebuah lori tiga tan di Plaza Tol Bukit Tagar, Hulu Selangor, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, rokok berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Pekan Kuala Selangor menuju ke selatan tanah air.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintenden Khairuddin Jamal berkata, sebelum ditahan pihaknya terlebih dahulu mengesan lori berkenaan di Pekan Kuala Selangor sebelum cuba menahannya.
Beliau berkata, bagaimanapun pemandu lori berusia 32 tahun itu enggan memberikan kerjasama dan terus memecut kenderaannya.
“Kita terpaksa mengejar lori tersebut sejauh hampir 70 kilometer sebelum berjaya menahannya 45 minit kemudian di Plaza Tol Bukit Tagar.
“Pemeriksaan lanjut mendapati di dalam lori itu telah menemui 224 kotak rokok putih yang mengandungi 11,200 kartun rokok putih jenama John D-Blend bernilai kira-kira RM179,000. Nilai rokok termasuk cukai adalah dianggarkan RM3.1 juta,”katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Khairuddin berkata, siasatan awal pihaknya mendapati rokok berkenaan dipercayai dari negara jiran untuk pasaran sekitar selatan tanah air.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati nombor pendaftaran lori yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat di Semenyih itu tidak sama dengan nombor yang terdapat pada cukai jalan kenderaan itu.
“Kita tidak menolak kemungkinan lori tersebut adalah lori curi, namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti status lori berkenaan dan sindiket yang terlibat dalam penyeludupan itu,” katanya.
Tambah beliau, jumlah keseluruhan rampasan rokok termasuk lori tiga tan dan dua buah telefon bimbit dianggarkan lebih RM3.25 juta.
“Kesemua barang rampasan termasuk pemandu lori kini telah dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut,”ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang-barang belum lulus Kastam. – K! ONLINE










