NILAI – Seorang pemberi pinjaman wang tidak berlesen di tahan polis di Rasah, Seremban baru-baru ini kerana disyaki melakukan ugutan jenayah keatas seorang penyelia produk sebuah kolej swasta di sini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, pemberi pinjaman wang tidak berlesen berusia 34 tahun itu ditahan di rumahnya oleh sepasukan anggota kira-kira pukul 12 tengahari, Isnin lalu.
Menurut beliau, siasatan awal polis mendapati mangsa yang berusia 28 tahun membuat pinjaman wang dengan faedah sebanyak RM14,000 daripada suspek pada tahun 2015 dan telah membuat bayaran balik RM40,000 termasuk bunga.
“Bagaimanapun suspek masih meminta pengadu untuk membayar. Mangsa turut menjadi penjamin kepada dua kawannya yang telah melarikan diri dan tidak membayar hutang yang dipinjam daripada suspek.
“Suspek meminta mangsa menanggung hutang itu sebanyak RM120,000. Kereta milik suspek telah diberikan sebagai cagaran. Suspek sering ke rumah dan tempat kerja mangsa untuk mengganggu mangsa,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mohd. Nor Marzukee berkata, mangsa bertindak membuat laporan polis selepas ibu mertuanya didatangi beberapa lelaki ke rumahnya di Labu bertanyakan tentang pinjaman itu.
Berikutan itu katanya, polis menjalankan Op Vulture dan menahan suspek di rumahnya di Rasah pada 18 Februari lalu sebelum ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Suspek akan dituduh di Mahkamah Seremban Isnin ini,” katanya. – K! ONLINE










