Pochettino sukar terima kekalahan - Utusan Malaysia

Pochettino sukar terima kekalahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 24 Feb. – Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino tidak dapat menerima kekalahan kepada Burnley 1-2 di Stadium Turf Moor, semalam.

Pochettino berkata, misi di Turf Moor amat penting untuk meneruskan persaingan memburu takhta liga dan kekalahan satu kejutan yang sukar diterima.

“Saya fikir ia peluang terbaik untuk kami menunjukkan kepada lawan bahawa kami benar-benar mampu menjadi pencabar liga. Baiklah, kami memang menguasai perlawanan, mencipta lebih peluang berbanding Burnley tetapi ia tidak mencukupi.

“Pada tahap seperti ini, jika kamu mahu menjadi pencabar liga kamu perlu tunjukkan perwatakan itu, tetapi ia tidak menjadi di sini dan kami perlu mencari jawapannya,” katanya.

Meskipun Harry Kane kembali daripada kecederaan dan menjaringkan gol buat Spurs, tetapi, kekalahan tersebut hadir selepas mereka menang dalam empat perlawanan sebelum ini tanpa penyerang England itu.

“Beraksi secara berpasukan sangat penting, Harry menja­ringkan gol dan saya gembira dengan kepulangannya. Dia telah membantu kami, tetapi, tiada yang lebih penting berbanding pasukan,” ujar pengendali Spurs itu.

Dalam perlawanan, semalam, Ashley Barnes muncul wira Burnley apabila menjaringkan gol kemenangan ketika permainan berada dihujung aksi, selepas Chris Wood menyumbat gol pembukaan. Sebaik perlawanan tamat, Pochettino telah bertemu dengan Mike Dean bagi melampiaskan kemarahannya terhadap keputusan pengadil berkenaan.

Bagaimanapun, warga Argentina itu berkata, dia tidak marah di atas sebab-sebab tertentu, tetapi mengakui silap kerana bersemuka dengan pengadil berkenaan dan sepatutnya dia perlu terus masuk ke dalam terowong stadium.

“Tiada apa-apa. Apa yang berlaku di dalam padang, biarkan ia demikian. Kami melakukan beberapa kesilapan dengan melepaskan dua gol. Tiada apa yang boleh diperkatakan, me­lainkan ucapan tahniah kepada Burnley. Mereka bekerja keras dan berhak menang. Kami tidak berhak kalah, tetapi inilah bola sepak,” jelas Pochettino. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN