PULAU PINANG 23 Feb. – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudidin menyangkal dakwaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kononnya parti itu tidak turun padang membantu calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Menurut Zuraida, beliau sendiri hampir setiap hari berada di Semenyih bagi menguruskan gerak kerja jentera Pakatan Harapan (PH) sepanjang PRK itu khususnya melibatkan sayap Wanita semua parti PH.
Tambah beliau, Abdul Hadi mungkin tidak menyedari kelibat jentera PKR atau DAP memandangkan semua ahli-ahli PH yang membantu memakai baju merah yang melambangkan kesatuan di bawah PH.
“Saya rasa itu adalah dakwaan yang meleset (PKR dan DAP tidak bantu), dan saya pun tidak pasti sama ada Abdul Hadi ada turun ke sana atau tidak.
“Tetapi jentera PKR dan DAP setiap hari ada di sana cuma kita tidak ada bilik gerakan untuk parti-parti sendiri sebab semuanya berpusat di bawah bilik gerakan dan lambang PH yang menunjukkan kesatuan kita,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Persatuan Demi Rakyat Pulau Pinang di pangsapuri Bayu Nyaman, Bayan Lepas di sini hari ini.
Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengulas kenyataan Abdul Hadi semalam yang mengingatkan PH supaya tidak menyalahkan Pas sekiranya calon Bersatu kalah pada PRK DUN Semenyih selepas mendakwa PKR dan DAP tidak turun membantu.
Dalam pada itu, ditanya mengenai tahap sokongan terhadap PH pada PRK tersebut, Zuraida berkata, penilaian pihaknya ketika ini menunjukkan sokongan terhadap PH semakin tinggi dan lebih 60 peratus berbanding ketika permulaan kempen.
Berhubung isu peribadi calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang tular kerana didakwa tidak mempunyai keyakinan tinggi terutama ketika berhadapan media, Zuraida berkata, situasi itu adalah perkara biasa dalam kalangan ahli politik baharu.
Katanya, adalah tidak wajar untuk kemampuan Muhammad Aiman dinilai menerusi cara beliau berinteraksi dengan media apatah lagi sebagai ahli politik muda, calon PH itu mungkin berasa ragu-ragu untuk menjawab dengan tepat soalan yang diajukan wartawan.
“Tidak semua ahli politik boleh berdepan dengan media apatah lagi ahli politik yang masih baru dan kurang pengalaman seperti Muhammad Aiman, tetapi dari segi berinteraksi dengan penduduk dan menyampaikan ceramah, dia tidak ada sebarang masalah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










