KUALA LUMPUR – Bekas perancang tengah Perlis, Mohd. Badhri Radzi perlu lulus ujian kesihatan dan kecergasan sebelum diambil kembali bagi memperkuatkan skuad ‘The Red Warriors’ (TRW) pada saingan Liga Premier musim ini. Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Red Warriors Sdn. Bhd. (KRW), Ahmad Fadli Mohammad.
“Jika semua berjalan lancar, Mohd. Badhri atau Piya akan kembali bersama TRW pada musim ini.
“Saya harap kehadiran Piya akan menambah sengat di bahagian tengah sekali gus memacu TRW untuk mengejar kedudukan terbaik pada Liga Premier,” katanya semalam.
Musim 2018 menjadi ‘titik hitam’ buat Piya apabila Kelantan membuat kejutan menggugurkannya pada pertengahan musim lalu sekali gus menenggelamkan nama bekas jeneral padang TRW itu.
Bagaimanapun, nama Piya yang terkenal dengan kemahiran hantaran tepat kembali meniti bibir peminat bola sepak Malaysia apabila menerima lamaran daripada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).
Namun, jodoh Piya dengan PFA tidak panjang selepas pasukan Singa Utara disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). Tindakan tegas itu diambil oleh MFL ekoran masalah kewangan yang kronik melanda PFA.
Ahmad Fadli memberitahu, KRW berharap para penyokong setia TRW memberi ruang kepada pihaknya untuk memperkemaskan lagi perancangan pasukan ke arah lebih baik.
Jelasnya, KRW mempunyai blue print jelas untuk terus berusaha mengembalikan semula zaman kegemilangan TRW.
“Untuk bangkit balik bukan macam makan mi segera. Letak air panas, biarkan beberapa minit, lepas itu makan.
“Kita perlu ada perancangan dan hala tuju jelas. Jadi, berilah kami masa untuk buktikan proses pemulihan TRW,” katanya. – K! ONLINE










