SEREMBAN 23 Feb. – PKR dinasihatkan supaya memilih calon yang mempunyai kualiti setanding dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sekiranya mahu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Bekas Naib Pengerusi PKR negeri, Aishah Lamsah berkata, kekuatan dan kelebihan lawan perlu diambil kira sebelum menamakan calon bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) di kerusi tersebut.
Beliau yang tewas kepada Mohamad di kerusi DUN Rantau dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 dan 13 mengakui bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mempunyai kelebihan kerana rekod kepemimpinan di negeri ini serta latar belakangnya.
“Kita kena tahu siapa Tok Mat (Mohamad) dan kaji apa kelebihannya. Kena letak calon yang ada nama besar supaya dapat tarik undi.
“Tak bolehlah kita letak calon biasa yang ‘cikai-cikai’ setakat ada SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), kita hendak lawan bekas menteri besar dan tokoh korporat. Jangan sampai calon kita hilang wang pertaruhan pula.
“Kita mesti cari calon yang setanding Tok Mat dari segi pemikiran, kelulusan akademik dan keterampilan. Ini semua penting. Dalam PRK, kriteria untuk pilih calon berbeza dengan PRU, prestasi calon kena lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ditanya sama ada Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau, Dr. S. Streram yang disebut-sebut bakal menjadi calon layak menentang Mohamad, Aishah mengakui kurang mengenali pakar bius tersebut.
Bagaimanapun bekas Ketua Wanita PKR negeri itu berkata, parti itu tidak semestinya mencalonkan Streram walaupun beliau berjaya dalam petisyen untuk membatalkan kemenangan Mohamad dalam PRU-14.
“Sesiapa juga yang dinafikan hak pasti akan membawa kes ke mahkamah seperti dilakukan Streram. Ini tak bermakna dia layak untuk mendapat hak bertanding di kerusi itu. PKR tidak berhutang budi apa-apa kepada Streram.
“Jika parti mahu balas budinya pun boleh beri peluang dia di tempat lain. Kalau Streram berjiwa besar, dia boleh terima dan lepaskan kepada sesiapa yang dipilih oleh parti nanti,” kata bekas Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau itu.
Aishah yang juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR berpendapat, persaingan di DUN Rantau kali ini berbeza kerana Barisan Nasional bukan lagi kerajaan dan tidak mempunyai sumber kewangan dan jentera seperti beberapa tahun lalu. – UTUSAN ONLINE










