HULU LANGAT 18 Feb. – Pakatan Harapan (PH) tidak tergugat dengan kebanjiran penyokong Barisan Nasional (BN) pada siri ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih yang dihadiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana rakyat Semenyih hanya mahu mendengar apa yang ingin diperkatakan Najib yang kini dikenali ‘Bossku’.
Katanya, negara telah melalui banyak PRK dan menyaksikan penyokong beribu-ribu di satu pihak, tetapi belum tentu menterjemahkan sokongan menerusi undi.
“Kita pun tidak terpengaruh dengan itu. Bagi saya, tidak menjadi perkara yang menggugat kedudukan kita. Saya yakin penduduk Semenyih cukup bijak dan tahu hendak menilai siapa pemimpin dan parti mana yang harus mereka sokong,“ katanya kepada pemberita selepas mengikuti program Sembang Santai Bersama Muhyiddin di Warung Kak Ting, Beranang, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas isu lebih 1,000 penduduk Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, Beranang di sini menyerbu Najib pada ceramah BN berbanding kurang 100 orang di ceramah PH yang dihadiri Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, semalam. – UTUSAN ONLINE









