KANGAR 20 Feb. – Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Julia G. Bentley mengadakan lawatan kerja beliau ke negeri Perlis selama dua hari baru-baru ini.
Sejurus tiba di negeri ini, beliau menelusuri Sungai Perlis bagi menghayati keindahan alam semulajadi negeri ini dan melihat pemandangan matahari sedang terbenam dengan menaiki bot dari Jeti Kg. Tok Kuning dan turun di Jeti Kastam Kuala Perlis.
Selepas itu beliau melawat Masjid Terapung Al Hussain dan juga menikmati pemandangan menarik dari atas Jambatan Tuanku Syed Putra Kuala Perlis.
Ia disusuli dengan sesi taklimat pembangunan ekonomi Negeri Perlis yang disampaikan oleh pihak Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis dan juga Pejabat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Negeri Perlis.
Sesudah itu Bentley meluangkan masa menyaksikan ‘Kejohanan Muay Amatur Remaja Peringkat Kebangsaan Tahun 2019’ yang diadakan di Arena Futsal Kompleks Sukan Negeri, Kangar.
Program padat beliau pada hari pertama berakhir dengan sesi mengadap Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang diadakan di ‘Gallery SD28 – Restoran Blackwood Kangar’.
Pada pagi berikutnya pula beliau yang sudah berkhidmat di Kuala Lumpur sejak satu setengah tahun yang lalu mengadakan perbincangan perancangan mengenai pelbagai kerjasama dua hala dengan pihak pengurusan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di kampus induknya di Pauh Putra dan turut melawat Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra UniMAP.
Beliau juga menyampaikan syarahan umum mengenai negara Kanada kepada para pelajar universiti berkenaan.
Seterusnya tengah hari tadi beliau mengadakan kunjungan ke Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indera di Kangar bagi melihat sendiri sistem persekolahan rendah di negeri ini. – UTUSAN ONLINE










