ARWAH bapa pernah berpesan ‘cari sesuatu dalam hidup perkara yang kita minat, suka dan cinta. Selepas itu berikan fokus dan buat betul-betul sehingga berjaya.’
Itu azimat yang tersemat di hati Aznatul Fazliah Mohd. Razim untuk berjaya sebagai seorang pengukir inai dari Sri Alam, Johor Bahru yang menjalankan perniagaan Henna Fazz sejak 2012.
Menurutnya yang juga seorang guru, ukiran inai adalah satu seni indah dan istimewa. Setiap ukiran dihasilkan Henna Fazz akan dipastikan berkualiti serta memuaskan pelanggan.
“Cabaran datang daripada diri sendiri. Apabila susah untuk berpuas hati dengan hasil kerja sendiri kita akan sentiasa mencari kelemahan yang perlu diperbaiki sehingga sekarang.
“Ilmu dan teknik ukiran inai sangat luas, banyak lagi yang perlu saya pelajari,” ujar bekas penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) itu ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, minat dalam bidang itu dipupuk semasa sedang menuntut di USM apabila setiap pelajar diwajibkan mengambil subjek keusahawanan.
“Setiap pelajar ditugaskan mencari satu bisnes untuk menonjolkan diri dalam perniagaan. Disebabkan saya pelajar Fakulti Seni dan inai agak terkenal di Pulau Pinang, jadi saya mengambil keputusan mencari satu perniagaan yang mewakili elemen seni.
“Semuanya bermula secara tidak sengaja dan ukiran inai saya mula diterima sehingga ada yang menempah khidmat saya untuk majlis tertentu selain untuk suka-suka,” katanya.
Dia hanya menjadikan ukiran inai sebagai pendapatan tambahan, namun hasilnya lumayan setiap kali cuti sekolah sehingga mampu memperoleh antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.
Aznatul Fazliah tidak bercadang menjadikan bidang itu sebagai kerjaya utama kerana kini masih berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah antarabangsa di Johor Bahru.










