KUALA PILAH – Seorang lelaki yang menderita penyakit sawan sejak tiga tahun lalu ditemui mati di dalam longkang di hadapan rumah kakaknya di Rumah Rakyat Melang di sini hari ini.
Mayat mangsa, Sanusi Sulaiman, 51, ditemui oleh abang iparnya, Zahar Saad, 65, dalam keadaan tertiarap di dalam longkang yang terletak kira-kira dua meter dari rumahnya itu kira-kira pukul 9 pagi.
Kakak mangsa, Sabariah Sulaiman, 59, berkata, adik lelakinya itu belum berkahwin dan merupakan bekas kerani di Politeknik Port Dickson serta pernah pekerja di kilang Proton Holdings Bhd. (Proton).
“Kami tak sangka dia akan meninggalkan kami. Dia telah lama tinggal bersama saya selepas kematian ibu kami,” katanya dalam nada sedih ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Sabariah berkata, Sanusi dikesan mengalami penyakit sawan sejak tiga tahun lalu, malah pernah ditahan di wad hospital selama beberapa hari.
Katanya, adik lelakinya itu kerap diserang sawan sejak kebelakangan ini, namun enggan makan ubat yang diberikan oleh pihak hospital sejak dia disahkan mengalami penyakit itu.
Menurutnya, dia pernah melihat muka Sanusi beberapa kali lebam dipercayai akibat terjatuh ketika diserang sawan, namun adik lelakinya itu menafikan. – K! ONLINE










