BANGI 23 Feb.- Kerajaan menaikkan peruntukkan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) daripada RM2.3 bilion kepada RM2.5 bilion pada tahun ini untuk disalurkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40).
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, menerusi peruntukan itu, pihaknya berharap dapat membantu lebih ramai golongan B40 untuk menceburi peluang perniagaan.
Katanya, pembiayaan disediakan itu secara tidak langsung dapat membolehkan golongan sasaran memulakan atau mengembangkan perniagaan bagi mengubah nasib hidup keluarga mereka.
“Selain itu, kerajaan juga menyasarkan bilangan 400,000 orang sebagai Sahabat AIM dapat dicapai menjelang hujung tahun ini berbanding kini iaitu 310,000 orang.
“Jika lebih ramai menyertai AIM, ia dapat membantu mereka keluar dari arus kemiskinan kerana agensi ini bukan sahaja berperanan menjadi platform pembiayaian, tetapi juga sebagai pembimbing kepada mereka yang baru berjinak dalam dunia keusahawanan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Fiesta Sahabat AIM 2019 di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE










