SEREMBAN 16 Feb. – Hadiah wang tunai bernilai RM12,544 menanti 13 pemenang pertandingan fotografi anjuran pemaju Bandar Sri Sendayan (BSS) di sini, Matrix Concepts Holdings Berhad (MCHB).
Pertandingan yang bermula sejak 1 Februari lalu hingga 28 Februari ini diadakan oleh pemaju berkenaan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.
Dengan tema ‘Togetherness@Bandar Sri Sendayan’, pertandingan itu terbuka kepada semua termasuk jurufoto profesional.
Pertandingan itu boleh disertai secara percuma dan peserta perlu mengambil gambar menarik sekitar BSS.
Pengerusi MCHB, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, pertandingan fotografi itu adalah sebahagian daripada pelbagai acara bagi memeriahkan perayaan Tahun Baharu Cina oleh MCHB kali ini.
Katanya, acara lain termasuk seni pasir, lukisan, kaligrafi dan pameran di ruang legar kelab rekreasi, d’Tempat Country Club dekat sini.
“Kami menampilkan dekorasi istana YanXi yang diinspirasi daripada seni bina dinasti Qing yang berusia lebih 400 tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina MCHB di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan MCHB, Datuk Lee Tian Hock dan Pengarah Urusan Kumpulan MCHB, Ho Kong Soon. – UTUSAN ONLINE










