Permohonan dalam talian bagi projek berskala kecil - Utusan Malaysia

Permohonan dalam talian bagi projek berskala kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Permohonan untuk projek berskala kecil kediaman daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini boleh dibuat secara dalam talian melalui sistem Penyerahan Bersepadu Kuala Lumpur (KLIS) bermula 15 Januari lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, KLIS diba­ngunkan bagi memudahkan pemaju membuat penyerahan dan memproses permohonan secara dalam talian melibatkan permohonan kelulusan perintah pembangunan, pelan bangunan dan pelan kejuruteraan.

Katanya, permohonan itu boleh dibuat di laman web iaitu http://osconline.dbkl.gov.my.

“KLIS bercirikan ‘online submission’, ‘online processing’, ‘online payment’, ‘digital signature’, ‘self monitoring’ dan ‘paperless’. Ini juga ‘mobile friendly’ yang membolehkan permohonan dibuat tanpa had masa dan di mana sahaja.

“Dengan pelaksanaan penuh sistem KLIS ini, Pusat Khid­mat Setempat (OSC) DBKL tidak lagi menerima permohonan secara manual di kaunter OSC,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Kuala Lumpur Low Carbon Society Blueprint 2030 dan KLIS di Menara DBKL 1, di sini.

Mengulas lanjut Nor Hisham berkata, sistem KLIS itu merupakan satu daripada 245 program di bawah Kuala Lumpur Low Carbon Society Blueprint 2030.

“KLIS juga akan diperluaskan kepada semua jenis permohonan, termasuk permohonan pembelian rumah Projek Perumahan Rakyat pada masa depan.

“Selain itu, semua permohonan dan kelulusan untuk perniagaan Bazar Ramadan juga akan dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya mulai tahun ini,” katanya.

Dalam perkemba­ngan sama Nor Hisham berkata, Kuala Lumpur Low Carbon Society Blueprint 2030 telah menggariskan 10 tindakan, 37 sub-tindakan, 82 langkah dan 245 program untuk kesejahteraan bandar dan pembangunan mapan tanpa pencemaran alam.

Katanya, antara tindakan pelan itu adalah ‘Green Growth’, ‘Green Mobility’, ‘Low Carbon Green Building’, ‘Sustainable Waste Management’ dan ‘Green Urban Go­vernance’.

“Usaha ini penting untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan secara tidak langsung akan meningkatkan pelaburan dalam aset alam sekitar, teknologi dan produksi hijau untuk ibu kota,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN