PETALING JAYA – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan penyertaan pasukan Perlis dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini dibatalkan berkuat kuasa hari ini.
Keputusan itu dibuat setelah Ahli Lembaga Pengarah MFL sebulat suara untuk menyingkirkan Perlis selepas mendapati pasukan yang bersaing dalam Liga Premier itu tidak memiliki jaminan kukuh daripada struktur kewangan bagi terus bertahan musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk membatalkan penyertaan Perlis dibuat selepas mereka meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan oleh Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) selepas tarikh akhir Isnin lalu.
Berdasarkan dokumen kewangan berkenaan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati sumber pendapatan PFA termasuk daripada penajaan berdasarkan perancangan kewangan mereka tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan bersaing dalam Liga M musim ini.
Jelas Kevin, MFL sudah memberikan bantuan dan ruang secukupnya untuk Perlis mengatasi masalah kewangan mereka dan akhirnya satu keputusan perlu dibuat bagi memastikan ia tidak memberi kesan lebih buruk kepada pemain-pemain dan Liga Malaysia itu sendiri.
“Selepas mengambil kira segala aspek, Ahli Lembaga Pengarah sebulat suara untuk membatalkan penyertaan Perlis pada Liga Premier musim ini.
“Faktor utama keputusan pembatalan Perlis bermain Liga Premier musim ini disebabkan kegagalan mereka mengatasi masalah kewangan serta tidak mempunyai perancangan kewangan yang menyakinkan untuk mereka terus bertahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – K! ONLINE










