Perhilitan mulakan operasi tangkap buaya di Tasik Shah Alam - Utusan Malaysia

Perhilitan mulakan operasi tangkap buaya di Tasik Shah Alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Selangor sudah memulakan operasi untuk menangkap anak buaya tembaga di Tasik Shah Alam, Seksyen 14 di sini hari ini.

Pengarah Perhilitan negeri, Abd. Rahim Othman berkata, pihaknya dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah memulakan operasi itu bermula kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Menurutnya, rondaan dengan bot telah dilakukan di kawasan tasik berkenaan bagi mengesan anak buaya terbabit.

“Anggota Perhilitan juga membawa jaring dan jala untuk menangkap buaya tersebut. Apabila kita berjaya mengesan kelibat anak buaya itu baharulah kita akan pasang jaring dan gunakan jala untuk menangkapnya.

“Anggota kita juga secara bergilir-gilir membuat pemantauan di tasik itu dan sehingga pukul 8 malam tadi kita masih belum berjaya menangkap anak buaya itu,”katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Tambah Abd. Rahim, pihaknya akan meneruskan operasi tersebut sehingga anak buaya berukuran hampir satu meter itu berjaya ditangkap.

Kosmo! semalam melaporkan Perhilitan Selangor percaya anak buaya tembaga yang ditemui di Tasik Shah Alam, Seksyen 14 di sini dilepaskan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Abd. Rahim berkata, ini berikutan tasik tersebut bukan habitat haiwan terbabit dan sebelum ini tiada kes dilaporkan berkaitan reptilia terbabit.

Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati tasik berkenaan tidak bersambung atau mempunyai saluran terus ke mana-mana sungai utama di negeri ini.

Reptilia berkenaan ditemui kira-kira pukul 9.30 pagi oleh orang awam di atas pam air tasik berkenaan sebelum menghubungi bomba untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN