LONDON 23 Feb. – Universiti Pusat Lancashire (Uclan) menggantung pengajian seorang penuntutnya yang mencetuskan kemarahan ramai kerana mengecam tindakan pemberian perubatan percuma kepada pendatang dan mengkritik pengaruh Islam di Britain.
Daily Mail melaporkan, Uclan mengambil tindakan tersebut setelah menerima aduan ramai mengenai tingkah laku Sebastian Walsh yang menyuarakan pandangan kontroversinya ketika kuliah diadakan.
Penuntut tersebut menentang penyediaan makanan halal dan menyifatkannya sebagai kejam serta tidak berperikemanusiaan.
Beliau turut bersumpah tidak akan makan di restoran KFC dan Subway kerana tidak bersetuju dengan proses penyembelihan haiwan.
Jurucakap Uclan berkata, pihak universiti berbangga dengan komuniti dalam kampus yang merangkumi pelbagai budaya, kepercayaan, warganegara dan agama.
“Kami menghargai kepelbagaian ini dan serius dalam menyediakan persekitaran yang selamat dan harmoni kepada semua. Walsh jelas melanggar beberapa peraturan universiti dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya dan menyentuh sensitiviti ketika proses kuliah dan seminar berjalan,” katanya.
Jelas jurucakap itu, sejajar dengan prosedur yang ditetapkan pihak universiti, siasatan telah dijalankan dan sesi pendengaran melibatkan pelajar tersebut juga telah dilakukan.
Uclan menambah, Walsh digantung sementara daripada mengikuti pengajian untuk baki akademik tahunan.
“Beliau akan dibenarkan kembali setelah berjaya menyempurnakan kursus latihan budaya dan kepelbagaian yang dilaksanakan nanti,” jelasnya.










