KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal warga Pakistan maut selepas terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Pantai Dalam menghala ke Kampung Pasir dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 11 malam itu, mangsa, Mohd. Jumat Ahmad Ali, 45, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada kepala.
Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai peniaga itu datang dari arah Kampung Pasir menghala ke Pantai Dalam sebelum bertembung dengan seorang lagi penunggang motosikal.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas mangsa hilang kawalan akibat melanggar bonggol jalan dengan keadaan agak laju.
“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 tersebut telah hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lagi motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang seorang lelaki warga tempatan.
“Akibat kemalangan tersebut, si mati telah tercampak dan mengalami kecederaan parah pada kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara penunggang motosikal jenis Modenas Kriss, Mohd. Zulfadli Hazmi, 34, mengalami pendarahan di kepala serta patah kaki kiri dan telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menerima rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan. – K! ONLINE











