NILAI – Seorang pemuda berusia 24 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di
Kilometer 280.2 Lebuh Raya Utara- Selatan (PLUS) arah utara di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, mangsa, Muhamad Ilyas Zakaria meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.
“Mangsa yang beralamat di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor dan menunggang motosikal jenis Honda Wave terlibat dalam kemalangan itu kira-kira pukul 6.30 petang.
“Dia dibawa ke HTJ untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Nor Marzukee berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa sedang menunggang motosikal di lorong kecemasan.
Kata beliau, motosikal itu kemudian hilang kawalan dan terbabas ke tepi jalan sebelah kiri sebelum melanggar penghadang besi di lokasi kejadian.
Menurut beliau, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal berkenaan tercampak ke depan di dalam lorong kecemasan.
“Kes disiasat dibawah Sek 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. – K! ONLINE










