KUALA LUMPUR 22 Feb.- Hasrat kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan wujud salah laku hakim merupakan langkah tepat kerana boleh mengumpulkan bukti sebelum tuduhan dilakukan.
Namun dalam masa sama, Penganalisis Politik dan Pengamal Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpendapat tidak semua penubuhan RCI mampu menghasilkan keputusan yang dinamik.
“Misalnya kes peguam dikatakan campur tangan dalam lantikan hakim, tiada kes dibawa ke mahkamah kerana RCI tidak menghasilkan bukti yang mencukupi untuk meneruskan pendakwaan di mahkamah.
“Untuk itu setiap isu pentadbiran kehakiman termasuk masalah dalam sistem perlu dikaji secara mendalam antaranya mengenal pasti saksi-saksi yang penting,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu kerajaan akan menubuhkan RCI berhubung dakwaan wujud salah laku oleh hakim. – UTUSAN ONLINE










